Rumah dipercayai milik isteri bekas pegawai tentera digeledah, 23 jam Rolex disita

Rumah dipercayai milik isteri bekas pegawai tentera digeledah, 23 jam Rolex disita

SPRM sita 23 jam tangan berjenama dengan anggaran nilai pasaran semasa berjumlah kira-kira RM2 juta.

macc sprm
Rampasan jam tangan mewah dan barangan kemas oleh SPRM berlaku susulan penemuan jongkong emas serta mata wang asing dalam serbuan berasingan Jumaat lalu.
PETALING JAYA:
Sebanyak 23 unit jam tangan berjenama disita badan anti-rasuah selepas menggeledah sebuah kediaman dipercayai milik isteri kedua seorang bekas pegawai tertinggi tentera darat.

Menurut sumber, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia temui 23 jam jenama Rolex pelbagai model dengan anggaran nilai pasaran semasa berjumlah kira-kira RM2 juta, ketika menggeledah kediaman di Pantai Timur itu.

Jam tangan berkenaan ditemui ketika SPRM memeriksa dua buah bagasi, dijumpai ketika penggeledahan pagi tadi.

SPRM turut menyita beberapa barangan kemas milik seorang individu dipercayai bersubahat, yang dianggarkan bernilai kira-kira RM225,000.

Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Zainul Darus, mengesahkan rampasan itu.

Khamis lalu, bekas panglima tentera darat, Hafizuddeain Jantan dan dua isterinya direman dua hingga tujuh hari bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan tender perolehan pasukan keselamatan itu.

Semalam, SPRM merampas jongkong dan keping emas, selain pelbagai mata wang asing dalam siasatan kes sama yang keseluruhan barangan disita dianggarkan bernilai kira-kira RM6.9 juta.

Selasa lalu pula, 17 pengarah syarikat direman kerana disyaki terbabit rangkaian kartel tender perolehan tentera darat.

Agensi antirasuah itu sedang menyiasat pemilik 26 syarikat dikatakan telah diberikan kontrak oleh pihak tentera. Mereka antara kira-kira 40 syarikat dalam radar SPRM, dengan beberapa syarikat itu berulang kali memperoleh kontrak ketenteraan bernilai tinggi sejak 2023, menurut sumber.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.