
Pensyarah kanan ekonomi Universiti Xiamen Malaysia Consilz Tan berkata, negeri-negeri seperti Johor, Pulau Pinang dan Selangor masih mencatatkan nilai hartanah tidak terjual.
“Ini disumbangkan oleh ketidakpadanan lokasi, harga dan jenis rumah,” kata Tan kepada FMT.
Beliau berkata, lebih banyak tumpuan diberikan pada pemilikan rumah, berbanding penyewaan, seterusnya mewujudkan perangkap hutang isi rumah yang lebih tinggi, membawa kepada krisis selepas persaraan.
Di Malaysia, katanya, nilai hutang isi rumah hampir RM1.4 trilion, dengan 58% daripadanya pinjaman perumahan.
“Seseorang tidak seharusnya terburu-buru membuat hutang rumah semata-mata untuk memenuhi hasrat memiliki rumah, tanpa perancangan kewangan yang betul,” kata Tan.
Menurut Pusat Maklumat Harta Tanah Negara, terdapat sejumlah 27,746 unit hartanah tidak terjual bernilai RM18.41 bilion pada 2022.
Johor mengekalkan jumlah tertinggi dengan 5,285 unit bernilai RM4.33 bilion, diikuti Selangor (3,698 unit bernilai RM3.36 bilion); Pulau Pinang (3,593 unit bernilai RM2.74 bilion); dan Kuala Lumpur (3,429 unit bernilai RM3.15 bilion).
Sidsapesan Sittampalam, pengarah urusan sebuah syarikat hartanah berkata, trend yang berubah-ubah, seperti kurang orang muda yang berkahwin, dan pasangan tidak mempunyai anak ramai, menjadi faktor pilihan perumahan.
“Walaupun kita cukup rumah buat masa ini, individu lebih berusia yang mahukan kediaman lebih kecil dan mudah diakses untuk penjagaan kesihatan menyebabkan berlakunya peralihan.
“Ini bukan hanya isu perumahan – ia juga menjejaskan pekerjaan dan industri yang berbeza,” kata Sittampalam.
Beliau menggesa agar kerajaan mempertingkat perancangan dan dasar berkait prasarana seperti rebat cukai untuk menggalakkan wujudnya unit keluarga yang lebih besar.
“Kerajaan harus menggalakkan pasangan muda untuk mempunyai lebih ramai anak melalui campur tangan dasar dalam bentuk rebat cukai,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan Chang Kim Loong berkata, lot Bumiputera tidak dilepaskan menyumbang kepada kira-kira 40% hingga 50% daripada jumlah unit tidak terjual.
“Pelepasan lot Bumiputera yang tidak terjual berada bawah kawalan kerajaan negeri dan bergantung kepada keputusan politik,” katanya.
“Jika mekanisme pelepasan tidak dibenarkan, ini mungkin mengakibatkan kenaikan harga bagi pelancaran (projek perumahan) berikutnya.”