
PETALING JAYA: Seorang rakyat Malaysia parah ditembak di sebuah rumah di Golok, Thailand, semalam.
Mangsa yang dipercayai berasal dari Pasir Mas itu sedang dirawat di Hospital Suhang, Golok dan keadaannya dilaporkan stabil.
Menurut jurucakap polis, kejadian pada 6.40 petang waktu Thailand itu dipercayai berlaku akibat pertengkaran antara mangsa berusia 33 tahun dan suspek berhubung masalah hutang.
“Suspek dan mangsa dipercayai bertengkar sebelum tembakan berlaku. Polis merampas sepucuk pistol 9mm yang digunakan suspek,” katanya menurut Berita Harian.
Beliau berkata, polis giat memburu suspek yang melarikan diri selepas kejadian itu.