4 ditahan gaduh akibat culas bayar hutang

4 ditahan gaduh akibat culas bayar hutang

Polis berkata motif pergaduhan ialah tiga suspek mahu menuntut hutang dipinjam seorang pemandu kereta.

Tangkap layar video tular menunjukkan pergaduhan membabitkan empat lelaki di depan sebuah kedai di Jalan Sungai Besar Business Centre 3 semalam.
PETALING JAYA:
Empat lelaki ditahan susulan pergaduhan di Sungai Besar, Sabak Bernam, semalam yang dipercayai berpunca daripada tindakan culas membayar semula hutang.

Ketua Polis Sabak Bernam, Md Yusof Ahmad, berkata pihaknya menerima laporan pada 5.34 petang Rabu membabitkan pergaduhan tiga ahli keluarga yang juga pemiutang dan seorang penghutang di depan sebuah kedai di Jalan Sungai Besar Business Centre 3.

Beliau berkata, motif pergaduhan ialah tiga suspek mahu menuntut hutang dipinjam pemandu kereta itu.

Menurutnya, empat lelaki berusia 31 hingga 53 tahun itu ditahan di lokasi kejadian antara 5.20 hingga 6 petang semalam, dengan tiga kereta mengalami kerosakan luaran yang kecil.

“Ketika ini, polis sedang mencari seorang lagi suspek masih bebas bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148 dan 279 Kanun Keseksaan,” katanya menurut Harian metro.

Terdahulu, klip video pergaduhan empat lelaki itu tular di media sosial, dengan tiga daripada dilihat memukul cermin dan bahagian kereta yang mengakibatkan pemandunya bertindak agresif.

Pemandu itu mengundur keretanya beberapa kali, dipercayai untuk melarikan diri sehingga merempuh dan merosakkan dua kenderaan lain.

Kereta itu kemudian melanggar seorang individu lain sebelum ‘tersangkut’ di kaki lima kedai dan tiga lelaki berkenaan terus mendesak pemandu terbabit keluar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.