Saksi akhir bicara 1MDB Najib positif Covid-19, mahkamah diberitahu

Saksi akhir bicara 1MDB Najib positif Covid-19, mahkamah diberitahu

Timbalan pendakwa raya berkata Pegawai Penyiasat SPRM Nur Aida Arifin kuarantin hingga Isnin minggu depan.

Mahkamah Tinggi diberitahu Nik Faizal Arif Kamil (kiri) diberi mandat untuk menguruskan akaun AmBank Najib Razak dan diberi kuasa mengesahkan cek berjumlah hingga RM25O juta.
KUALA LUMPUR:
Saksi terakhir dalam perbicaraan kes 1MDB Najib Razak tidak dapat hadir memberi keterangan seperti dijadualkan hari ini dan minggu depan, Mahkamah Tinggi diberitahu.

Timbalan Pendakwa Raya, Kamal Bahrin Omar, berkata Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nur Aida Arifin didapati positif Covid-19 dan dikuarantin hingga 18 Dis ini.

Katanya, seorang lagi saksi, Penganalisis Bank Negara (BNM) Adam Ariff Roslan juga dikuarantin hari ini kerana menjadi kontak rapat.

Kamal berkata, Adam akan dipanggil untuk memberi keterangan Isnin ini.

Terdahulu, Pegawai Penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Foo Wei Min selesai memberi keterangan pagi tadi.

Foo memberitahu mahkamah bekas ketua pegawai pelaburan 1MDB Nik Faisal Ariff Kamil diberi mandat untuk menguruskan akaun Najib.

Katanya, bawah mandat itu, Nik Faisal diberi kuasa mengesahkan cek bernilai hingga RM250 juta.

Najib dibicarakan atas 25 tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berhubung dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang didepositkan ke akaun AmBank miliknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.