
Beliau yang juga menteri kewangan berkata ini dapat dilihat menerusi Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia 2025 yang diterbitkan hari ini yang memperlihatkan asas ekonomi negara yang kukuh dan berdaya tahan serta tatakelola yang baik.
“Ekonomi negara berjaya mencatat pertumbuhan sebanyak 5.2% pada 2025 didokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan.
“Kadar inflasi pada 1.4% adalah yang terendah dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini,” katanya menerusi laman X.
Pada masa yang sama, Anwar berkata pertumbuhan ekonomi bagi 2026 pula diunjurkan berkembang antara 4.0% hingga 5.0%, manakala inflasi keseluruhan pada tahun ini dijangka kekal sederhana dengan diunjurkan sekitar 1.5% hingga 2.5%.
Beliau berkata dalam situasi konflik di Asia Barat yang memberi tekanan kepada harga komoditi dan rantaian bekalan, Malaysia tetap menghadapi cabaran global ini dengan kesiapsiagaan yang mapan.
“InsyaAllah dengan sistem kewangan yang mempunyai berdaya tahan, kita akan terus mengimbangi pertumbuhan ekonomi dan melindungi rakyat,” katanya.