Solidariti Palestin: Tiada program hiburan ambang tahun baharu di Perlis

Solidariti Palestin: Tiada program hiburan ambang tahun baharu di Perlis

Menteri Besar Mohd Shukri Ramli berkata cadangan itu bagi menghormati penderitaan dihadapi rakyat Palestin.

Mohd Shukri Ramli berkata ramai rakyat Palestin menderita akibat kekejaman Israel. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Tiada program hiburan berbentuk nyanyian dan tarian melalaikan di Perlis pada ambang tahun baharu bagi menghormati penderitaan rakyat Palestin, kata Menteri Besarnya Mohd Shukri Ramli.

Shukri berkata cadangan itu selepas melihat perkembangan semasa di mana isu berkaitan Palestin ini semakin dipandang sepi banyak pihak.

“Hari ini kekejaman masih berlanjutan di Semenanjung Gaza dan menyebabkan pembunuhan besar-besaran tanpa ada belas ihsan terutamanya kepada golongan tidak berupaya, wanita, warga emas malah kanak-kanak turut menjadi mangsa.

“Sehingga kini lebih 15,000 rakyat Palestin syahid, 37,000 cedera dan 6,500 hilang di bawah runtuhan bangunan,” katanya pada sidang DUN Perlis.

Beliau berkata demikian semasa mengemukakan usul mengutuk serangan Israel terhadap Palestin.

Usul itu disokong Exco Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Asrul Aimran Abd Jalil.

DUN Perlis juga sebulat suara meluluskan usul mengutuk serangan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.