
Menteri Besar Mohd Shukri Ramli, berkata kerjasama itu memberi kelebihan besar dari segi logistik apabila tempoh perjalanan kereta api dari Kunming ke Perlis mampu dipendekkan sebanyak tiga hari.
“Pada 22 Sept ini akan berlangsung upacara pelepasan kereta api pertama ke Kunming. Walaupun belum sampai sepenuhnya ke destinasi, namun ia menandakan bermulanya hubungan rasmi itu.
“Insya-Allah menteri pengangkutan turut hadir pada majlis tersebut,” katanya memetik Harakahdaily.
Katanya, PIP akan dirasmikan pada 10 Feb depan dan diyakini menjadi pelabuhan darat menghubungkan laluan dagang penting rantau Asia Tenggara dengan China.
“Lawatan ke Kunming baru-baru ini amat positif, pelabuhan darat yang kita lawati itu semuanya nampak nak bekerjasama dengan kita sebab perjalanan, pergerakan keretapi daripada Kunming ke Perlis menjimatkan, pendekkan masa,” katanya.
Dalam sidang media sama, Shukri turut mengulas lawatan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) ke Perlis yang memberi tumpuan kepada usaha menurunkan kadar air tidak berhasil (NRW).
“Kerajaan negeri berterima kasih kepada pengerusi SPAN yang turun padang membincangkan langkah mempercepatkan pengurangan NRW di Perlis. Ini penting kerana kadar NRW kita masih tinggi,” katanya.