
Barjoyai Bardai daripada Universiti Tun Abdul Razak berkata, ini kerana bawah pentadbiran Amir, KWSP memperkenalkan akaun ketiga yang membolehkan pencarum menggunakannya ketika kecemasan.
“Aspek belanjawan, pengurusan aset negara, syarikat dan sebagainya. Ini boleh dikhususkan tugasnya kepada menteri kewangan kedua ini.
“Ya betul (pemilihan tepat). Kita juga tahu KWSP perkenalkan konsep akaun ketiga. Kepakaran menteri kewangan baru ini dalam perlindungan sosial akan digunakan,” katanya kepada FMT.
Jawatan menteri kewangan kedua diwujudkan semula untuk membantu meringankan beban Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang turut memegang portfolio itu.
Amir mengetuai KWSP yang menguruskan dana persaraan negara sejak Mac 2021 menggantikan Tunku Alizakri Raja Muhammad Alias.
Pada November lalu, Timbalan Menteri Kewangan Ahmad Maslan berkata akaun ketiga atau akaun fleksibel KWSP akan mula dilaksanakan pada April 2024. Beliau berkata perincian mengenainya akan diumumkan selepas dividen KWSP diumumkan.
Barjoyai berkata, pelantikan Amir menepati matlamat negara kerana mempunyai pengalaman korporat untuk melakukan kerja polisi berkait kewangan.
“Sekarang kalau kita lihat perdana menteri sudah mengumumkan tentang wakaf dan syarikat milik kerajaan yang akan dirombak disesuaikan…memerlukan kepimpinan baru.
“Mungkin Kementerian Kewangan baru ini boleh kerjasama dengan menteri agama yang juga lulusan perbankan Islam untuk melakukan aktiviti atau buat perancangan pelaksanaan seperti program wakaf dan sebagainya,” katanya.
Sementara itu, penganalisis ekonomi dan kewangan, Abdul Rahim Abdul Rahman, berkata pelantikan menteri kewangan kedua akan membantu Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi tumpuan tugas asasinya.
Katanya, ini termasuk Anwar boleh menumpukan untuk memantau prestasi semua kementerian dan menteri yang dilantik.
“Pelantikan menteri kewangan kedua yang mahir dan profesional dalam pengurusan kewangan akan membantu menasihat dan membuat keputusan menteri kewangan.
“Tanggungjawab Kementerian Kewangan perlu perhatian teliti dan menteri yang bukan sahaja mahir tetapi faham dasar kerajaan Madani untuk memastikan pelaksanaan yang cekap dan berhemah dalam menguruskan kewangan negara,” katanya.