Jatuh ketika memancing, kanak-kanak 5 tahun ditemukan lemas

Jatuh ketika memancing, kanak-kanak 5 tahun ditemukan lemas

Mangsa dilaporkan hilang petang Isnin selepas dipercayai terjatuh ketika memancing bersama tiga lagi adik beradiknya di jeti berhampiran rumah mereka.

Menurut polis, mayat mangsa, Rizq Ramadhina Jamaluddinn ditemukan petang tadi kira-kira empat kilometer dari lokasi mangsa dikatakan terjatuh. (Gambar Freepik)
KUANTAN:
Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang dilaporkan hilang sejak Isnin lepas ditemukan lemas di sungai berhampiran kawasan Perumahan Banjir Simpang Sepayang, Kuala Rompin, Rompin hari ini.

Ketua Polis Rompin, Azhari Mukhtar, berkata mayat Rizq Ramadhina Jamaluddinn dijumpai pada 5.30 petang oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira empat kilometer dari lokasi mangsa dikatakan terjatuh.

Beliau berkata pihaknya telah menerima laporan kehilangan mangsa pada 5.25 petang Isnin, selepas kanak-kanak itu dipercayai terjatuh ketika memancing bersama tiga lagi adik-beradiknya di sebuah jeti berhampiran kediaman mereka.

“Kami telah melaksanakan operasi mencari dan menyelamat sejak Isnin, dan operasi hari ini menemukan mayat kanak-kanak itu. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Rompin untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Menurut Azhari, operasi SAR melibatkan 116 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi keselamatan antaranya polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta penduduk kampung.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.