
Sathia Chandran, 29, berkata: “Saya berulang kali minta dibantu, sejam demi sejam berlalu. Saya diberitahu saya kena tunggu giliran, ada 17 orang daripada kami.”
Katanya kepada FMT, ayahnya, Chandran Subramaniam, 51, memegang dadanya dan menjerit kesakitan sejurus mereka tiba di hospital itu, hampir tengah malam.
“Doktor ada memberikan kepada ayah saya ubat gastrik,” katanya. “Mereka kata dia ada angin. Ayah saya masih mengerang kesakitan, tidak ada perubahan.”

Sathia berkata, dia merayu kepada jururawat untuk membantu, namun dimaklumkan doktor sedang sibuk. Dia kemudian menyerbu masuk ke bilik konsultasi bagi mendapatkan bantuan. “Mereka sibuk bercakap sesama sendiri,” katanya. “Saya dimarahi kerana masuk.”
Hanya sekitar 5 pagi, bapanya dibawa masuk ke Zon Merah. “Sejam kemudian, doktor datang dan beritahu saya jantung ayah telah berhenti berdegup dan mereka sedang cuba menyelamatkannya,” katanya.
Chandran diisytiharkan meninggal dunia pada 6.31 pagi.
“Apa yang berlaku kepada ayah saya tidak sepatutnya terjadi kepada sesiapapun. Saya mahu menuntut keadilan untuknya,” katanya yang juga bekerja sebagai pemandu lori.
Mendiang meninggalkan lima anak berusia lingkungan 12 hingga 29 tahun. Tiga daripadanya menetap bersama saudara mara di Lembah Klang, manakala Sathia dan adik perempuan bongsu tinggal di Sungai Petani.
Peguam Shamsher Singh Thind, yang mewakili pihak keluarga, berkata pihaknya telah menghantar surat tuntutan kepada Kementerian Kesihatan memohon siasatan segera dijalankan oleh panel bebas.
Pihak kementerian berkata, aduan tersebut diambil serius dan siasatan menyeluruh akan dilaksanakan.