
Timbalan Ketua Polis Kuala Pilah Syahrul Anuar Abdul Wahab, berkata remaja berkenaan menyertai sukan anjuran sekolah itu bersama kira-kira 700 pelajar lain, kira-kira 8 pagi.
“Kira-kira 9.30 pagi ketika mangsa menghampiri garisan penamat, tiba-tiba dia dikatakan rebah dan tidak sedarkan diri.
“Guru yang ada di lokasi dikatakan memberikan bantuan pernafasan tetapi remaja itu tiada tindak balas. Kemudian pihak sekolah menghubungi talian kecemasan 999,” katanya menurut Berita Harian.
Katanya, paramedik ada memberikan bantuan awal sebelum membawa pelajar terbabit ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah kira-kira 10.15 pagi namun disahkan meninggal dunia selepas sejam.
Menurut Syahrul, berdasarkan keterangan bapa pelajar, remaja itu disahkan menghidap penyakit jantung berlubang pada 2016 dan masih dibekalkan ubat daripada Institut Jantung Negara (IJN).
“Buat masa ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.