Pemeriksaan kesihatan tahunan cegah penyakit jantung, kata pakar

Pemeriksaan kesihatan tahunan cegah penyakit jantung, kata pakar

Ketua Pegawai Eksekutif IJN Dr Ezani Taib berkata kebanyakan kes penyakit jantung boleh dicegah jika dikesan lebih awal.

Dr Ezani Taib berkata melakukan pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya sekali setahun cara terbaik mengurangkan risiko menghidap penyakit jantung.
KUALA LUMPUR:
Melakukan pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya sekali setahun adalah cara terbaik untuk mengurangkan risiko penyakit jantung, kata pakar bedah kardiotorasik kanan.

Dr Ezani Taib yang juga ketua pegawai eksekutif Institut Jantung Negara (IJN) berkata, ia amat penting terutama bagi mereka yang mempunyai sejarah keluarga dengan penyakit kardiovaskular (CVD).

“Mereka inilah golongan yang mempunyai risiko tertinggi CVD. Mereka perlu menjalani ujian saringan khusus, sama ada ujian tekanan, ultrasound, atau imbasan tomografi berkomputer (CT) jantung,” katanya kepada FMT.

CVD secara konsisten menyumbang 23.3% kematian di Malaysia setiap tahun, menjadikannya punca utama kematian sejak awal 1980-an, menurut Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata, kolesterol tinggi adalah faktor risiko utama bagi penyakit kardiovaskular aterosklerotik, iaitu simpanan lemak yang menyebabkan penyempitan arteri sekali gus mengakibatkan serangan jantung, strok, dan aneurisme aorta.

Dzulkefly berkata, Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 menunjukkan 33.3% orang dewasa di Malaysia atau 7.6 juta yang berumur 18 tahun dan ke atas menderita penyakit kolestrol tinggi.

Bagaimanapun, sebahagian mereka tidak menyedari menderita penyakit itu kerana biasanya peningkatan kolestrol tidak menunjukkan simptom.

CVD menyumbang 18.4% daripada kematian yang disahkan secara perubatan pada 2022, menjadikannya punca utama kematian pramatang dalam kalangan individu berusia 30 hingga 69 tahun. Jangka hayat purata di Malaysia adalah 75 tahun.

Tahap kebarangkalian

Ezani berkata, ada dua faktor risiko yang boleh mempengaruhi kemungkinan seseorang menghidap CVD: faktor tidak boleh diubah seperti genetik dan sejarah keluarga, serta faktor boleh diubah seperti pilihan gaya hidup dan tabiat.

“Faktor boleh diubah adalah yang perlu anda tangani segera.”

“Sesetengah orang tahu mereka menghidap diabetes atau ada kolesterol tinggi, tetapi mereka masih berkata, ‘Tak apa, saya akan kawal pemakanan saya,’ yang selalunya tidak berlaku. Atau mereka merokok dan tidak mahu berhenti. Disebabkan itu, mereka akan menghidap CVD selepas beberapa tahun,” katanya.

Pencegahan adalah kunci

Ezani menegaskan penjagaan kesihatan melalui pencegahan adalah penting namun ia mesti dimulakan lebih awal.

Beliau berkata, penting untuk melibatkan golongan muda melalui kempen pendidikan di sekolah.

Katanya, IJN secara berkala mengadakan jerayawara untuk mempromosikan gaya hidup sihat dan menanamkan kepentingan pemeriksaan kesihatan bagi mengesan tiga punca CVD, iaitu hipertensi, diabetes dan kolesterol tinggi.

Mengenai cabaran dihadapi penduduk luar bandar dalam mendapatkan akses kepada penjagaan kesihatan, beliau berkata IJN menjalankan pemeriksaan ke atas lebih 70,000 orang di 470 lokasi sepanjang 10 tahun lalu.

Lebih banyak inisiatif dalam perancangan.

Melalui memorandum persefahaman ditandatangani dengan Putra Specialist Hospital, Melaka bulan lalu, IJN akan mengembangkan perkhidmatan kardiologi dan pembedahan kardiotorasik ke wilayah selatan.

“Melaka adalah lokasi strategik. Ia memberi perkhidmatan kepada wilayah selatan Semenanjung serta Sumatera. Ini bermakna pesakit tidak perlu lagi ke Kuala Lumpur untuk rawatan,” kata Ezani.

Rawatan bertaraf dunia

Usaha IJN juga meningkatkan kedudukannya di peringkat antarabangsa.

Ezani berkata, peralihan IJN daripada pendekatan berasaskan rawatan kepada mengutamakan pencegahan, pendidikan, dan advokasi membantunya mencapai standard global, setanding dengan yang ada di Amerika Syarikat dan Eropah.

“Kami juga sudah menerbitkan lebih 1,000 laporan dalam jurnal saintifik yang boleh diakses di seluruh dunia.”

“Mereka bukan sahaja mengenali kami sebagai hospital yang bagus tetapi juga membolehkan orang lain mencabar hasil kajian kami,” kata Ezani.

IJN disenaraikan antara 1,000 organisasi penjagaan kesihatan diiktiraf atas standard penjagaan yang ketat oleh Joint Commission International berpusat di AS sejak 2009.

Majalah berita antarabangsa Newsweek dan platform pengumpulan data serta visualisasi Statista menamakan IJN antara hospital terbaik di dunia tahun lalu.

Laporan Bernama baru-baru ini menyatakan antara pesakit yang mendapatkan rawatan di IJN adalah dari Jepun, Korea Selatan, China, Denmark, Itali dan Perancis.

Ezani berkata, IJN juga adalah ahli Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC) dan antara empat yang disenarai pendek dalam Program Hospital Pelancongan Perubatan Perdana.

“Kami berharap ini akan membantu menarik lebih ramai pesakit dari luar negara,” katanya.

Beliau berkata, sebagai pusat rujukan jantung utama Malaysia, IJN mempunyai rekod pencapaian ‘cemerlang’ dalam mengendalikan kes kompleks yang dirujuk dari hospital swasta dan awam.

Menangani kekurangan tenaga perubatan

Ezani berkata, IJN telah berusaha menangani kekurangan pakar penjagaan kesihatan di Malaysia sejak penubuhan kolejnya pada 2008.

“Saya rasa masalah kekurangan bakat tidak akan reda, tetapi kolej ini akan banyak membantu kami dalam menangani permintaan tersebut dan merapatkan jurang. Dengan cara ini, kami sentiasa menghasilkan generasi profesional penjagaan kesihatan yang seterusnya,” katanya.

Bulan lalu, Kementerian Kesihatan berkata 6,417 pegawai perubatan tetap dan kontrak meletakkan jawatan sejak 2019 hingga 2023, bersamaan purata tiga doktor meninggalkan perkhidmatan awam setiap hari.

Kementerian juga berkata, seramai 1,046 pakar meninggalkan perkhidmatan awam dalam tempoh sama, dengan 63 daripadanya memilih bersara awal selepas mencapai usia 50 tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.