
Pusat Kecemerlangan Jantung dan Paru-paru yang pertama itu ditubuhkan di Johor Specialist Hospital (JSH) dan akan menjadi teras penyelarasan perkhidmatan melalui protokol rawatan seragam, semakan kes multidisiplin dan penambahbaikan berasaskan data di seluruh rangkaian KPJ.
Dilancarkan pada 2024, KPJHS mengintegrasikan tiga komponen utama iaitu amalan klinikal, pendidikan (melalui KPJ Healthcare University; KPJU) serta penyelidikan dan inovasi bagi mengukuhkan tadbir urus klinikal serta meningkatkan pengalaman pesakit yang lebih konsisten di semua hospital KPJ.
Selaras pembangunan itu, KPJ Healthcare memeterai penglibatan khidmat rundingan dengan Mayo Clinic Global Consulting untuk memperkukuh keupayaan klinikal dan akademik kumpulannya merangkumi standard klinikal, pengalaman pesakit, rangka kerja pendidikan dan bidang penyelidikan bagi menyokong pembangunan pusat kecemerlangan berasaskan amalan terbaik antarabangsa.
Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp), Syed Mohamed Syed Ibrahim, berkata penubuhan pusat kecemerlangan itu membawa mandat jelas iaitu satu sistem, standard, dan hasil lebih baik.
“KPJHS menyediakan hala tuju lebih tersusun untuk mencapai hasil yang boleh diukur, sekali gus memastikan pesakit menerima rawatan lebih selamat, akses lebih pantas dan pengalaman lebih konsisten di hospital kami,” katanya yang juga pengerusi KPJU dan jawatankuasa penyelarasan KPJHS sempena pelancaran pusat itu.
Hadir sama Pengerusi KPJ Healthcare, Dr Ismail Bakar; Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Chin Keat Chyuan dan Naib Presiden Global Commercial Solutions, Mayo Clinic International, Royston Lek.
Sementara itu, Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Chin Keat Chyuan, berkata pelancaran pusat kecemerlangan pertama itu menandakan peralihan ke arah sistem kesihatan bersepadu yang menyeluruh.
Katanya, melalui KPJHS, amalan klinikal diperkukuh dengan pendidikan berstruktur dan penyelidikan diterapkan dalam rutin harian supaya dapat meningkatkan hasil rawatan dan menyediakan pengalaman lebih konsisten di seluruh rangkaian.
Fokus utama Pusat Kecemerlangan Jantung dan Paru-paru JSH meliputi pendekatan klinikal yang seragam melalui protokol rawatan, perkongsian kepakaran dan semakan kes multidisiplin bagi menyokong rawatan yang tepat pada masanya serta berasaskan bukti.
Pembangunan kapasiti klinikal melalui kerjasama dengan KPJU, termasuk latihan berasaskan simulasi, penempatan klinikal dan sesi semakan kes bagi membangunkan bakat yang bersedia untuk masa depan.
Selain itu, integrasi digital dan data dalam proses kerja klinikal bagi menyokong keputusan klinikal dan meningkatkan konsistensi dalam penyampaian rawatan.
Penambahbaikan berterusan melalui inisiatif peningkatan amalan yang sedang dilaksanakan di JSH untuk memperkukuh hasil rawatan dan akauntabiliti di seluruh perkhidmatan klinikal.
Penubuhan pusat itu juga membuka lembaran baharu dalam pembangunan rangkaian 15 pusat kecemerlangan yang akan direalisasikan sehingga 2030.
Inisiatif itu akan menjadi pemangkin kepada KPJHS meningkatkan keupayaan klinikal, akses perkhidmatan dan nilai kepada pesakit serta komuniti di seluruh negara.