
Perunding Kanan Kardiologi Institut Jantung Negara (IJN), Dr Azhari Rosman, berkata penting untuk orang ramai faham bahaya kolesterol jahat boleh diibaratkan sebagai ‘bom jangka’ menunggu masa mencetuskan serangan jantung jika tidak dikawal dengan betul.
Katanya, kolesterol dan darah tinggi adalah penyumbang utama kepada penyakit yang membawa maut itu dan 55% daripada pesakit tidak tahu mereka ada kolesterol tinggi.
Secara umum penggunaan ubat statin menjadi rawatan utama dalam pengurusan LDL, bagaimanapun Azhari berkata salah satu pendekatan semakin mendapat perhatian pakar kardiologi adalah terapi kombinasi.
Beliau berkata, ubat mengandungi terapi kombinasi dilihat mampu mengurus LDL lebih baik berbanding statin sahaja kerana ia terdiri gabungan ezetimibe dan rosuvastatin yang boleh beroperasi menghalang pengeluaran kolesterol melalui hati dan usus.
“Mekanismenya lain dua ubat ini. Cara ia bergerak iaitu melalui usus dan satu lagi melalui hati. Jadi, kalau kita gabungkan kedua-duanya (ezetimibe dan rosuvastatin) tahap penurunan (kolesterol) lagi tinggi, kerana itu kita gunakan terapi kombinasi untuk mencapai tahap sasaran.
“Kalau mencapai tahap rendah kolesterol, kita boleh mengurangkan risiko serangan jantung atau mengurangkan aterosklerosis iaitu plak atau deposit lemak,” katanya kepada FMT.

Azhari berkata, terapi kombinasi ezetimibe dan rosuvastatin juga membolehkan pengurangan dos statin sekali gus mengurangkan potensi kesan sampingan, pada masa sama mengekal bahkan meningkatkan kesan penurunan kolesterol.
“Kalau guna statin sahaja…ada dos yang tinggi mungkin dapat kesan sampingan umpamanya sakit-sakit otot,” katanya.
Keberkesanan dan keselamatan gabungan ezetimibe dan rosuvastatin dalam terapi kombinasi sudah terbukti membolehkan ia digunakan bukan sahaja untuk penghidap penyakit jantung, tetapi sebagai langkah pencegahan bagi mereka yang berisiko.
“Kita ada tahap normal (bacaan kolesterol). Orang normal tak ada risiko LDL patutnya kurang 2.6 mmol/L. Orang berisiko tinggi umpamanya sudah ada serangan jantung, angioplasti, kencing manis, darah tinggi, hisap rokok dan lain-lain sepatutnya 1.8 mmol/L,” kata Azhari.
Setakat ini produk Rosuzet daripada Organon Malaysia Sdn Bhd satu-satunya yang mengandungi terapi kombinasi ezetimibe dan rosuvastatin.
Produk ini boleh didapati di klinik, hospital, dan farmasi seluruh negara yang memberikan solusi lebih berkesan untuk pengurusan LDL serta pencegahan risiko serangan jantung.