Dakwaan Takiyuddin berkait rundingan peruntukan tak tepat, kata Fadillah

Dakwaan Takiyuddin berkait rundingan peruntukan tak tepat, kata Fadillah

Takiyuddin Hassan berkata rundingan penyaluran peruntukan Ahli Parlimen PN telah diadakan beberapa kali dengan Fadillah Yusof namun gagal.

Fadillah Yusof diberi mandat berunding dengan wakil PN termasuk Takiyuddin Hassan berhubung penyaluran peruntukan Ahli Parlimen pembangkang.
PETALING JAYA:
Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof menafikan dakwaan Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) Takiyuddin Hassan mengaitkannya dengan kegagalan rundingan peruntukan Ahli Parlimen pembangkang.

“Rasa tak berapa tepat itu. Awak boleh tanya YB Taki (Takiyuddin) lagi,” katanya dalam mesej melalui WhatsApp kepada FMT.

Semalam, Takiyuddin yang juga wakil rakyat Kota Bharu mendakwa rundingan peruntukan untuk Ahli Parlimen PN akan mencapai keputusan berkesan jika membabitkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dengan Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin.

Beliau mendakwa rundingan dengan Fadillah yang diberi mandat oleh kerajaan telah diadakan beberapa kali namun gagal mencapai persetujuan.

“Tapi perundingan itu tidak berjaya, itu sajalah. Kenapa (perlu berjumpa) dengan TPM II (Fadillah)? Bukan saya kata tak boleh tapi tidak ada keputusan baik.

“Dulu masa Ismail Sabri (Yaakob) jadi perdana menteri, beliau sendiri berunding terus dengan ketua pembangkang (Anwar), jadi boleh buat keputusan lebih berkesan,” kata Takiyuddin menurut Harian Metro.

Bulan lalu, Takiyuddin berkata PN tidak meneruskan rundingan peruntukan sama rata Ahli Parlimen pembangkang kerana Fadillah meminta mereka menulis surat dengan menyatakan jaminan tertentu.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan jaminan diminta kerajaan itu.

Isu peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang menjadi antara alasan lima Ahli Parlimen Bersatu mengalihkan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Mereka terdiri daripada Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar); Suhaili Abdul Rahman (Labuan); Azizi Abu Naim (Gua Musang); Zahari Kechik (Jeli) dan Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.