Caj gunting rambut RM120, wanita didenda RM5,000 gagal pamer harga

Caj gunting rambut RM120, wanita didenda RM5,000 gagal pamer harga

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan menghidap penyakit kanser tahap satu dan menanggung keluarga.

Hakim turut memerintahkan Nurul Jannah Abdullah menjalani hukuman penjara enam bulan, jika gagal membayar denda RM5,000.
KUALA LUMPUR:
Seorang pemilik kedai gunting rambut yang tular di media sosial kerana mengenakan caj gunting rambut RM120 kepada pelancong asing, didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah gagal memaparkan senarai caj perkhidmatan dandanan rambut.

Hakim Norina Zainol Abidin menjatuhkan hukuman itu ke atas Nurul Jannah Abdullah, 52, selaku orang kena saman (OKS) dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara enam bulan, sekiranya gagal membayar denda.

Wanita itu didakwa gagal memaparkan senarai perkhidmatan ditawarkan dan tidak memaparkan caj bagi perkhidmatan dandanan rambut di premis itu di Jalan Bukit Bintang di sini pada 12.26 tengah hari 11 April lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Perintah 3(1) Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Barangan dan Caj Bagi Perkhidmatan) 2020 dan boleh dihukum bawah Perintah 5(a) perintah sama yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul’Ain Shafie, daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memohon OKS dikenakan hukuman berbentuk pencegahan bagi memberi pengajaran kepadanya, selain mengambil kira kesalahan serius dilakukannya.

“Dalam kes ini, pelanggan yang merupakan pasangan pelancong asing mempersoalkan harga dikenakan terhadap mereka mahal dan tidak masuk akal, selain menganggap tiada kawalan harga oleh kerajaan bagi urus niaga barangan dan perkhidmatan.

“Situasi itu turut menjejaskan sektor pelancongan negara, apatah lagi kes tersebut tular di media sosial dan mendapat perhatian masyarakat umum.”

Nurul Jannah yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan menghidap penyakit kanser tahap satu serta menanggung keluarga.

“Saya tidak boleh melakukan kerja-kerja berat, malah rahim saya juga telah dibuang. Saya mempunyai seorang ibu 80 tahun yang sakit di kampung,” katanya dalam nada sebak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.