
Vladimir Lakubanets, 2, disahkan meninggal dunia pada 9.46 pagi tadi di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, selepas menerima rawatan sejak 16 Nov.
Menurut bapa kanak-kanak itu, Nikita Lakubanets, 32, beliau dimaklumkan oleh doktor anaknya meninggal dunia akibat keracunan daripada sengatan ubur-ubur.
Lakubanets berkata, kejadian berlaku kira-kira 7.30 pagi Sabtu, ketika dia dan isterinya membawa anak mereka berjalan-jalan di pantai berdekatan Dataran Pantai Chenang.
“Ketika anak mandi di pantai, tiba-tiba dia menjerit dan menangis. Isteri terus mendapatkan anak kami dan mendapati ubur-ubur besar menyengat kedua-dua belah kakinya.
“Isteri saya juga terkena sengatan ketika menanggalkan cengkaman ubur-ubur itu dari kaki anak saya,” katanya, lapor Kosmo.
Lakubanets berkata, beliau berusaha memberikan bantuan pernafasan (CPR) sebelum menghantar ke klinik, namun anaknya kemudian dirujuk ke HSB keesokan harinya apabila keadaannya memburuk.
Ibu kanak-kanak tersebut, Olga Lakubanets, 32, berkata mereka berharap dapat membawa pulang abu mayat pada 26 Nov ini, iaitu tarikh sepatutnya pulang ke Rusia.