Tourism Malaysia sasar 45 juta pelawat tahun ini

Tourism Malaysia sasar 45 juta pelawat tahun ini

Sasaran itu diyakini mampu dicapai berdasarkan jumlah ketibaan pelawat ke Malaysia lebih 38 juta orang tahun lepas, kata ketua pengarah.

klia
Jumlah pelawat ke Malaysia sehingga Februari tahun ini meningkat 31.3%, iaitu 6.7 juta orang berbanding 5.1 juta orang dalam tempoh sama tahun lalu, menurut Tourism Malaysia.
PETALING JAYA:
Tourism Malaysia menyasarkan 45 juta pelawat ke negara ini bagi merancakkan lagi kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

Ketua pengarahnya, Manoharan Periasamy berkata, sasaran itu diyakini mampu dicapai berdasarkan jumlah ketibaan pelawat ke Malaysia lebih 38 juta orang tahun lepas.

“Untuk rekod, jumlah pelawat ke Malaysia sehingga Februari tahun ini meningkat 31.3%, iaitu 6.7 juta orang berbanding 5.1 juta orang dalam tempoh sama tahun lalu, dengan penyumbang utama ialah pelawat dari Singapura, China dan India,” katanya, lapor Bernama.

“Melihat kepada trend ketibaan pelancong ini, kami amat optimis untuk mencapai sasaran 45 juta pelawat, dan ia bukan sesuatu yang mustahil. Bagi merealisasikan sasaran ini, kerjasama daripada semua pemain industri termasuk pengusaha produk pelancongan dan kerajaan negeri amat penting.”

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Sesi Libat Urus bersama Penggiat Industri Pelancongan Kelantan di Kota Bharu, yang turut dihadiri Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri Kamarudin Md Nor.

Mengulas lanjut mengenai sesi libat urus tersebut, Manoharan berkata, ia bertujuan memberi pendedahan menyeluruh mengenai inisiatif dan peluang yang ditawarkan oleh Tourism Malaysia serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) kepada penggiat industri pelancongan di Kelantan dalam usaha menyokong agenda nasional ke arah kejayaan TMM2026.

“Antara inisiatif utama yang dikongsi dalam sesi tersebut termasuk Geran Sektor Penerbangan dan Charter, Geran Sokongan Sektor Pelancongan, Galakan Melancong, serta Geran Sokongan Sektor Kebudayaan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama erat dengan semua pemain industri pelancongan di negeri masing-masing, membantu mereka mempromosikan produk atau sebarang kegiatan kebudayaan dan kesenian yang dianjurkan.

Katanya, Kelantan dan Negeri Sembilan didapati antara negeri kurang aktif memohon geran untuk memasarkan industri pelancongan, berbanding Selangor, Sabah, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

“Oleh itu, kami berharap pemain industri mengambil peluang ini untuk memohon bantuan, skim atau geran yang disediakan kerajaan bagi mempergiat aktiviti promosi pelancongan di negeri mereka,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.