Bekas pesakit kanser tunai nazar Thaipusam selepas pulih

Bekas pesakit kanser tunai nazar Thaipusam selepas pulih

Anggap doa makbul M Vijaya yang bertarung lawan kanser payudara tahun lalu tunai nazar kepada Dewa Murugan di puncak Batu Caves.

m vijaya
M Vijaya, 57, disahkan menghidap kanser payudara tahap dua pada Ogos tahun lalu dan berdoa kepada Dewa Murugan supaya sembuh.
BATU CAVES:
Bagi M Vijaya, Thaipusam tahun ini bukan sekadar suatu perayaan – ia sambutan yang sangat peribadi selepas bertarung sebahagian besar tahun lalu melawan kanser payudara tahap dua.

Berdiri di atas anak tangga menuju ke Kuil Sri Subramaniar Swamy, bersedia menunaikan nazarnya kepada Dewa Murugan, ibu dua anak itu terharu dengan rasa syukur.

“Sejurus saya terima berita (diagnosis kanser), dunia saya jadi kelam. Saya serta-merta doa kepada Dewa Murugan agar bantu saya pulih,” katanya kepada FMT.

Wanita berusia 57 tahun itu percaya doanya termakbul selepas disahkan bebas kanser hanya dalam tempoh lima bulan.

“Saya ingat berkata (dalam doa), jika saya pulih, saya akan bawa sebekas susu untuk dipersembahkan (kepada Dewa Murugan),” katanya.

Sementara itu, R Selvandran, 45, puas hati dapat memikul kavadi seberat 30kg ke kuil, memanjat 272 anak tangga yang sesak dengan penganut Hindu lain.

R Selvandran
R Selvandran.

Perjalanan kerohaniannya selama enam jam, yang bermula di Sungai Batu pada dinihari, sememangnya meletihkan, tetapi beliau menikmati setiap saat.

“Saya tidak dapat bergesa-gesa ke puncak tetapi apabila saya akhirnya sampai ke kuil dan lihat wajah Dewa Murugan, saya berasa lega kerana sekali lagi dapat tunai nazar saya tahun ini,” katanya.

Selvandran, yang memikul kavadi selama lebih 12 tahun, tekad untuk meneruskan tradisi itu selagi beliau mampu.

Thaipusam kali ini turut meninggalkan kesan yang mendalam pada pelancong asing, termasuk Zoey Carter, 53, dari United Kingdom, yang berasa kagum melihat keghairahan sambutan penganut Hindu hari ini.

“Saya berminat untuk mengunjungi kuil di puncak bukit batu kapur (di Batu Caves) itu, tetapi saya tak dapat (naik) kerana sesak di anak tangga,” katanya.

“Orang sangat ramai (di tangga), tetapi saya akan datang kembali untuk panjat tangga berwarna-warni itu apabila sudah tidak ramai orang.”

Lochlan Monroe, 25, berkata sambutan yang disaksikan di Batu Caves itu jauh lebih mengagumkan daripada apa yang digambarkan dalam talian.

“Rakan saya dari Mesir beritahu saya tentang Thaipusam, jadi saya baca tentangnya sebelum datang ke sini. Namun, menyaksikan sendiri (sambutan Thaipusam) sangat luar biasa.

“Dapat rasakan tenaganya, sangat bersemangat,” kata pelancong dari Kanada itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.