Pecah amanah duit banduan hampir RM10,000, pegawai penjara mengaku tak salah

Pecah amanah duit banduan hampir RM10,000, pegawai penjara mengaku tak salah

Tertuduh didakwa melakukan pecah amanah terhadap wang milik banduan di Pusat Pemulihan Dadah Jelebu.

Hasry Hisyam Hassan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Pilah atas tuduhan pecah amanah wang milik banduan di Pusat Pemulihan Dadah Jelebu berjumlah hampir RM10,000. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Seorang pegawai penjara mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Pilah atas tuduhan melakukan pecah amanah terhadap wang milik banduan di Pusat Pemulihan Dadah Jelebu berjumlah hampir RM10,000 pada Mac lalu.

Hasry Hisyam Hassan, 33, membuat pengakuan itu selepas tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norma Ismail, lapor Sinar Harian.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai penjawat awam diamanahkan penguasaan ke atas harta tertentu iaitu wang tunai milik banduan telah melakukan pecah amanah jenayah berkaitan harta itu berjumlah RM9,850.

Kesalahan itu dilakukan di Pusat Pemulihan Dadah Jelebu antara 30 Mac 2023 hingga 1 Mei 2023.

Hasry Hisyam dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 20 tahun dengan sebat serta boleh juga dikenakan denda.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Qaiyyum Ramlan, mencadangkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM6,000.

Bagaimanapun peguam tertuduh, Adi Zulkarnain Zulkafli merayu mahkamah membenarkan jaminan minimum kerana anak guamnya perlu menanggung isteri dan dua anak yang masih bersekolah selain mempunyai komitmen bulanan yang lain.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Norma membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Jan depan untuk sebutan semula kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.