Bekas PAT mengaku tak salah 4 tuduhan rasuah, pecah amanah, salah guna kuasa

Bekas PAT mengaku tak salah 4 tuduhan rasuah, pecah amanah, salah guna kuasa

Nizam Jaffar mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di depan Hakim Rosli Ahmad.

nizam jaffar jaafar
Bekas panglima angkatan tentera Nizam Jaffar yang bertongkat tiba di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Bekas panglima angkatan tentera (PAT), Nizam Jaffar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas empat pertuduhan penyalahgunaan kuasa, pecah amanah dan menerima rasuah lebih RM3.75 juta.

Dia mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di depan Hakim Rosli Ahmad.

Bagi pertuduhan pertama, Nizam, 59, didakwa menyalahgunakan kedudukannya sebagai asisten ketua staf perkhidmatan anggota (AKSPA) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mempengerusikan Jawatankuasa Eksekutif Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT) untuk mendapatkan suapan berjumlah RM267,481.90 dengan melantik Sinar Bakti Global menjalankan kerja pembekalan kain pelikat bagi bungkusan barang Hari Raya 2025 bernilai RM468,000.

Dia juga didakwa menyalahgunakan kuasanya dengan melantik Sinar Raudhah Global membekalkan kain batik bagi bungkusan barang Hari Raya 2025 bernilai RM52,000 dan Zahra Jaya Global membekalkan playar lipat pelbagai fungsi bagi tujuan sama bernilai RM750,000.

Bagi pertuduhan kedua, Nizam didakwa menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM285,000, dengan melantik QMZ Resources membekalkan tuala mandi bagi bungkusan barang Hari Raya 2025 bernilai RM600,000.

Dia juga didakwa melantik Helmee Resources membekalkan beg galas bagi bungkusan barang Hari Raya sama bernilai RM1,725,000.

Dia didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 bagi dua pertuduhan pertama kerana menyalahgunakan kedudukannya sebagai penjawat awam untuk mendapatkan rasuah bagi dirinya, saudara mara atau rakannya.

Kesalahan dalam pertuduhan pertama dan kedua didakwa dilakukan di Kementerian Pertahanan di Kuala Lumpur pada 24 Jun 2024.

Nizam didakwa mempunyai kepentingan dalam Sinar Bakti Global, Sinar Raudhah Global, Zahra Jaya Global dan QMZ Resources.

Bagi pertuduhan ketiga mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, dia didakwa menyalahgunakan dana TKAT berjumlah RM3 juta bagi membuat pelaburan tambahan dalam Precious Amber International Bhd tanpa mendapat kelulusan Jawatankuasa Pelaburan TKAT.

Bagi pertuduhan keempat bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan, dia didakwa menerima rasuah wang tunai RM200,000 daripada Pengarah Aspen Red Sdn Bhd, Wan Shafie Abdul Rashid semasa berkhidmat sebagai PAT.

Kesalahan dalam pertuduhan ketiga didakwa dilakukan di Kementerian Pertahanan di Kuala Lumpur pada 4 Okt 2024, manakala kesalahan dalam pertuduhan keempat di Wisma Transit, Kuala Lumpur pada Mac 2025.

Ikat jamin

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib mencadangkan ikat jamin RM300,000 bagi tertuduh, mengambil kira tahap kesalahan dan kedudukannya dalam masyarakat.

Peguam Abdul Aziz Hamzah bagaimanapun merayu mahkamah mengenakan jaminan lebih rendah atas alasan tertuduh memberi kerjasama penuh sepanjang siasatan.

“Tertuduh menangguh dan menjadualkan semula tiga prosedur pembedahan bagi memudahkan siasatan serta ingin menangani masalah kesihatannya sebelum perbicaraan.”

Beliau berkata, anak guamnya masih menyara ibu bapanya berusia 80-an dan menunjukkan komitmen tidak berbelah bahagi sepanjang 42 tahun kerjayanya dalam angkatan tentera.

Hakim membenarkan ikat jamin RM180,000 dengan seorang penjamin, selain perlu menyerahkan pasportnya kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 31 Mac ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.