MSM percaya kerajaan akan naik harga siling gula

MSM percaya kerajaan akan naik harga siling gula

Harga siling runcit gula hanya dinaikkan 1 sen sejak 2013.

MSM Malaysia Holdings Berhad berkata tekanan inflasi terhadap gula mentah, perkapalan dan minyak mengakibatkan pengeluar gula berdepan margin negatif. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Pemain industri gula percaya kerajaan akan menangani isu harga siling gula rendah tidak lama lagi selepas mempertimbangkan peningkatan kos pengeluaran.

Sebelum ini, industri penapisan gula berkata mereka dalam perbincangan dengan kerajaan mengapungkan harga siling runcit gula, yang menyaksikan kenaikan bersih hanya 1 sen sejak 2013.

Harga siling ketika ini ditetapkan pada RM2.85 sekilogram bagi gula kasar, manakala gula halus pada RM2.95 sekilogram.

Pada sidang media, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM Malaysia Holdings Bhd, Syed Feizal Syed Mohammad, berkata kerajaan memahami industri tidak mampu mengekalkan paras harga sedia ada.

“Tekanan inflasi terhadap gula mentah, perkapalan dan minyak mengakibatkan pengeluar gula dengan negatif margin apabila mengeluarkan gula kasar…kerajaan memahami pihak industri tidak dapat memanjangkan lagi isu ini, dan ia memerlukan penyelesaian.

“Kami percaya kerajaan akan menangani isu ini tidak lama lagi,” katanya kepada pemberita.

Katanya, pihak industri mengadakan pertemuan bersama kerajaan berkait isu tersebut hampir 30 bulan, yang mana ada ketikanya pertemuan diadakan lebih 50 kali.

“Ia tugas berat…Insya-Allah, kita hampir selesai,” katanya.

MSM dan Central Sugars Refinery (CSR) Sdn Bhd terlibat secara besar-besaran dalam perniagaan penapisan gula tempatan, dengan MSM menguasai 60% pasaran manakala CSR 40%.

Bulan lalu, Pengarah Urusan Mydin Ameer Ali Mydin, menggesa kerajaan mengapung atau menaikan harga runcit gula daripada RM2.85 kepada RM3.80 susulan peningkatan harga komoditi itu di pasaran antarabangsa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.