
Presidennya Amali Munif Rahmat berkata sebarang kenaikan bergantung sepenuhnya kepada keputusan pengusaha bas sekolah kerana pada 2015 kerajaan memutuskan untuk tidak kawal selia atau tetap had siling tambang.
“Sejak tambang diapungkan, ia bergantung kepada operator. Mereka tentukan sendiri sama ada mahu kekalkan atau naikkan tambang berdasarkan kos dan laporan kewangan masing-masing,” katanya kepada FMT.
Bagaimanapun, katanya, pengusaha bas sekolah kini berdepan kenaikan kos dan beliau tidak menolak ada sebilangan pengusaha mungkin terpaksa menaikkan harga tambang.

“Insurans naik sejak pertengahan tahun lalu, gaji minimum pun meningkat. Alat ganti pula banyak diimport. Semua ini memberi kesan kepada kos,” katanya.
Beliau menjelaskan, persatuan tiada kuasa menghalang atau menetapkan harga tambang dan hanya menyediakan garis panduan umum supaya pengusaha menilai keperluan sebenar sebelum membuat sebarang keputusan.
“Kalau laporan kewangan menunjukkan kerugian, operator perlu pastikan perkhidmatan itu boleh diteruskan,” katanya.
Menurut Amali, ada pengusaha yang mengekalkan kadar sedia ada kerana telah menaikkan tambang lebih awal atau masih mampu menampung kos.
“Bukan semua operator naikkan tambang setiap tahun. Ada yang kekalkan sebab mereka masih mampu ‘bertahan’,” katanya.
Sesi persekolahan tahun 2026 dijangka bermula pada minggu kedua Januari, dengan sekolah di negeri-negeri kumpulan A (Kedah, Kelantan dan Terengganu) membuka sesi pada 11 Jan, dan negeri-negeri lain di kumpulan B bermula pada 12 Jan, menurut takwim akademik Kementerian Pendidikan untuk sesi baharu.