
Katanya, penculik itu turut menuntut tebusan RM1.9 juta untuk membebaskannya, tetapi dia dibebaskan tiga hari kemudian selepas kumpulan terbabit menyedari mereka diburu polis.
Wartawan itu yang enggan dikenali berkata, mimpi buruknya bermula apabila tiga lelaki yang mengaku anggota polis Bukit Aman mengetuk pintu rumahnya di Putrajaya pada tengah malam 7 Nov lalu dan berkata dia perlu disoal siasat berhubung satu laporan polis.
“Saya meminta mereka menunjukkan laporan itu tetapi mereka berkata ‘tunggu, ketua kami akan tunjuk pada kamu’. Mereka kemudian membawa saya ke kereta,” katanya kepada FMT.
Bagaimanapun, lelaki itu menyerahkan mangsa kepada empat lagi lelaki yang kemudian membawanya ke satu ladang kelapa sawit berhampiran Klang.
“Di ladang itu, ada tujuh atau lapan lagi lelaki yang kemudian mula memukul saya. Mereka bertanya mana saya dapat maklumat mengenai sindiket itu. Mereka kelar tangan, tendang dada dan pukul kepala saya.”
Wartawan yang bertugas di negara ini sejak enam tahun lalu berkata dia kemudian dibawa ke sebuah rumah berhampiran Kapar di mana dipukul “setiap jam”.
Mangsa yang berusia lingkungan 30-an mendakwa, dua lelaki Bangladesh menggunakan kumpulan warga tempatan untuk memukulnya. “Mereka hanya duduk dan melihat (saya dipukul).”
Katanya, dia hanya berhenti dipukul selepas bersetuju untuk bekerjasama dan memberikan apa sahaja kumpulan itu mahu, termasuk wang simpanannya yang berjumlah hampir RM50,000.
Wartawan sambilan sebuah stesen terkenal Bangladesh itu berkata, penculiknya tidak berpuas hati dengan beberapa soalan yang ditanya kepada ejen pekerja Bangladesh dalam satu program disiar secara langsung.
Dia dibebaskan tiga hari kemudian selepas kumpulan penculik menyedari polis dalam perjalanan ke rumah. Katanya, dia dihantar pulang menaiki kenderaan p-panggilan sebelum membuat laporan polis.
Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur, Allaudeen Abdul Majid berkata kes itu masih dalam siasatan dan salah seorang daripada tiga anggota polis yang disyaki menculik wartawan Bangladesh tersebut ditahan kerja.