
Prasarana dalam kenyataannya memaklumkan, daripada jumlah itu, perkhidmatan Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) merangkumi transit aliran ringan (LRT), transit aliran massa (MRT) dan monorel mencatatkan purata penggunaan harian sebanyak 835,119.
Purata penggunaan perkhidmatan Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) pula adalah 258,710, tambahnya.
Menurut kenyataan Prasarana, angka penggunaan harian tertinggi adalah 1,200,433, yang dicatatkan pada 22 Nov lepas.
“Angka tersebut merupakan tertinggi bagi penggunaan harian perkhidmatan kendalian Prasarana yang dicatatkan sejak negara dilanda wabak Covid-19.
“Pada awal 2020 (sebelum Covid-19), purata penumpang yang menggunakan perkhidmatan Prasarana kira-kira 1.2 juta orang sehari,” menurut kenyataan itu.
Menurut Prasarana, peningkatan penggunaan harian yang konsisten itu antara lain didorong oleh inisiatif berterusan pihaknya bersama Rapid Rail dan Rapid Bus dalam mempertingkatkan pengalaman pengguna, termasuk dari segi ketersediaan perkhidmatan, keadaan fasiliti serta kemudahan awam.
Bagi perkhidmatan rel, Prasarana memaklumkan pihak Rapid Rail sedang berusaha menambah baik perkhidmatan untuk memastikan perjalanan yang lancar bagi penumpang di kesemua laluan kendaliannya.
Selain itu, Rapid Rail juga telah memulakan pengoperasian empat tren baharu bagi LRT Laluan Kelana Jaya bawah projek Kenderaan Tambahan Kuala Lumpur (KLAV27) sejak September lepas dan ketika ini, laluan tersebut secara purata beroperasi dengan 48 tren dan kekerapan purata tiga minit.
Penggunaan MRT Laluan Putrajaya dan Laluan Kajang juga menunjukkan angka yang memberangsangkan dengan purata penggunaan MRT Laluan Putrajaya pada November lepas sebanyak 127,872 berbanding 122,720 sebelumnya.
MRT Laluan Kajang turut mencatatkan peningkatan purata penggunaan harian, daripada 219,576 pada Oktober kepada 225,705 pengguna pada November
Bilangan tersebut dijangka terus bertambah menjelang awal tahun depan dengan peningkatan tren kepada 36 buah, pada kekerapan empat minit.
Bagi perkhidmatan bas, Rapid Bas menjangkakan 1,000 kenderaan akan beroperasi setiap hari menjelang hujung tahun ini iaitu peningkatan daripada 762 bas sedia ada.
Pertambahan bilangan bas ini sejajar dengan permintaan perkhidmatan bas di sekitar lembah Klang yang semakin meningkat, tambahnya.
Kenyataan itu turut menyebut projek percubaan lorong bas di Jalan Ampang (Jalan Rhu ke persimpangan Jalan Tun Razak) yang bermula 3 Julai lepas telah mencatat peningkatan jumlah pengguna sebanyak 15% di koridor tersebut.
Dalam pada itu, menurut Prasarana, 99% fasiliti dan kemudahan awam di stesen termasuk lif dan eskalator ketika ini beroperasi secara normal.
Bagaimanapun, menurut kenyataan itu, Prasarana komited menambah baik kesemua perkhidmatan rel dan bas serta fasiliti kemudahan awam bawah kendaliannya secara berterusan untuk kemudahan dan keselesaan pengguna, selain menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.
Langkah itu selari dengan agenda pengangkutan awam yang menyasarkan penggunaan pengangkutan awam sebanyak 40% menjelang 2030, menurut kenyataan itu.