Saya buat laporan polis untuk bersih nama, kata Wahab

Saya buat laporan polis untuk bersih nama, kata Wahab

Penolong pegawai J-Kom itu tidak dapat memastikan status kerjayanya di agensi terbabit ketika ini selepas video tular itu.

Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani mengakui tertekan dan trauma dengan apa yang berlaku dalam kes video tular itu.
PETALING JAYA:
Penolong Pegawai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani membuat laporan polis demi membersihkan namanya selepas video tular dikaitkan dengan bekas ketua pengarahnya, Mohammad Agus Yusoff.

Wahab mengakui tertekan dan trauma dengan apa yang berlaku dalam kes itu.

“Saya tertekan, saya trauma, apalah nak cakap itu saja, saya buat semua ini (laporan polis) kerana hendak membersihkan nama dan menuntut keadilan,” katanya menurut Sinar Harian selepas membuat laporan di IPD Kajang.

Beliau ke IPD Kajang bersama peguamnya Faizal Abd Rahman sekitar 11 pagi dan keluar pada 4.45 petang tadi, selepas memberi keterangan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah.

Wahab bagaimanapun tidak dapat memastikan status kerjayanya di J-Kom ketika ini disebabkan kes berkenaan.

Beliau berpuas hati dengan usaha polis melengkapkan siasatan selepas dimaklumkan kertas siasatan akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara esok.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan atas kesalahan fitnah serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Identiti ‘Mr H’

Faizal berkata laporan dibuat Wahab untuk mendedahkan identiti dan peranan “Mr H” sebagai dalang video tular dikaitkan dengan anak guamnya.

“Sudah tentu siasatan hari ini lebih lama dari semalam (rakaman percakapan di Bukit Aman), sebab semalam Wahab hadir sebagai saksi dan hari ini sebagai pengadu.”

Katanya kenyataan yang diberikan dalam sidang media 17 Nov lalu sama, tetapi skop siasatan polis lebih luas.

“Saya tidak nampak mengapakah siasatan ini perlu dijalankan lebih lama dan saya gembira dengan kenyataan ketua polis Negara bahawa siasatan kes berkenaan selesai.

“Apa pun, selepas meneliti segala fakta, kita percaya hanya ‘Mr H’ saja sebenarnya dalang di sebalik semua krisis ini,” katanya sambil menambah pihaknya tidak dapat mendedahkan identiti “Mr H” sehingga perkara itu diputuskan Jabatan Peguam Negara.

Agus dan Wahab dalam sidang media khas 17 Nov lalu mendakwa video perbualan mereka yang tular di media sosial sudah disunting, dengan Wahab mendakwa diarahkan individu bernama “Mr H” untuk merakam video perbualannya bersama Agus.

Semalam, Wahab mengesahkan “Mr H” yang mengupahnya merakam video tular dengan Agus adalah individu sama dipanggil polis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.