4 beradik ke rumah perlindungan hingga usia 18 tahun, kata exco

4 beradik ke rumah perlindungan hingga usia 18 tahun, kata exco

Exco Perak Salbiah Mohamed berkata jika ada pihak berminat mengambil kanak-kanak itu sebagai anak angkat, mereka perlu melalui proses ditetapkan JKM.

Exco Perak Salbiah Mohamed berkata JKM tidak akan sewenang-wenangnya menyerahkan empat beradik itu kepada keluarga yang boleh merosakkan kehidupan mereka. (Gambar PDRM)
BAGAN SERAI:
Mahkamah memutuskan empat beradik yang ditinggalkan di pondok pengawal Kompleks Pentadbiran Perak Tengah, dekat Kampung Gajah baru-baru ini, ditempatkan di rumah perlindungan sehingga masing-masing berusia 18 tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Salbiah Mohamed, berkata jika ada pihak berminat mengambil kanak-kanak itu sebagai anak angkat, mereka perlu melalui proses ditetapkan Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM).

“Perlu ikut prosedur dan JKM juga tidak sewenang-wenangnya memberikan kanak-kanak itu kepada keluarga yang boleh merosakkan kehidupan mereka,” katanya selepas merasmikan Program Jelajah Usahawan dan Koperasi Negeri Perak.

Khamis lalu, kanak-kanak lelaki 11 tahun, kanak-kanak perempuan 6 tahun bersama dua adik lelaki mereka masing-masing 3 tahun dan 10 bulan ditinggalkan di pondok pengawal bersama bungkusan plastik hanya berisi susu serta lampin pakai buang.

Semalam, Ketua Polis Perak Tengah, Hafezul Helmi Hamzah, memaklumkan pihaknya menahan seorang lelaki dan wanita dipercayai ibu bapa kanak-kanak berkenaan di dua lokasi berbeza.

Dalam perkembangan lain, Salbiah berkata kerajaan negeri meminta pihak berwajib di peringkat daerah meneliti bantuan tambahan boleh diberikan kepada tiga beranak orang kurang upaya (OKU) yang mendiami rumah usang di Changkat Jering, Taiping.

Beliau berkata, ia sedikit sebanyak mampu mengurangkan bebanan dan membantu keluarga itu menjalani kehidupan seharian dengan lebih selesa.

“Di peringkat daerah, kita ada mesyuarat Jawatankuasa Kerja Tindakan Daerah yang melibatkan beberapa pihak, termasuk pejabat penghulu yang melihat perkara seumpama ini.

“Saya fikir keutamaan keluarga ini lebih kepada memerlukan kediaman selesa untuk didiami. Mungkin isu ini boleh diteliti, termasuk bantuan lain yang difikirkan sesuai.”

Katanya, setakat ini JKM membantu keluarga itu dengan bantuan RM450 sebulan, meliputi bantuan am serta bantuan pendidikan khas.

Terdahulu, tular di media sosial kisah kehidupan sebuah keluarga OKU lembam terdiri pasangan suami isteri dan seorang anak menginap di sebuah rumah usang di Changkat Jering.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.