Nafi minta NGO salur bantuan melalui Kedutaan Palestin

Nafi minta NGO salur bantuan melalui Kedutaan Palestin

Kedutaan Palestin berkata semua aktiviti pengumpulan dana mesti dijalankan di bawah pengawasan pihak berkuasa Malaysia.

Kedutaan Palestin berkata setiap bantuan dan barangan yang hendak dibawa masuk ke Gaza dan Tebing Barat perlu masing-masing melalui pihak berkuasa Mesir dan Jordan.
PETALING JAYA:
Kedutaan Palestin di Malaysia menafikan dakwaan sebuah NGO bahawa setiap sumbangan kepada negara itu perlu melaluinya terlebih dahulu.

Dalam kenyataan, mereka menjelaskan semua aktiviti pengumpulan dana untuk negara itu mesti dijalankan di bawah pengawasan pihak berkuasa Malaysia.

“Ada suara mendakwa kedutaan dan Duta Besar Palestin meminta NGO Malaysia untuk menyumbang melalui kedutaan, yang sama sekali tidak benar,” katanya.

Semalam Pengerusi Eksekutif Lembaga Pengarah Aman Palestin Berhad Abdullah Zaik Abdul Rahman mendakwa punca utama NGO itu menjadi mangsa tohmahan sehingga diambil tindakan oleh pihak berkuasa kerana tidak menyalurkan bantuan melalui Kedutaan Palestin di Malaysia.

Sedangkan katanya, sejak ditubuhkan 18 tahun lalu segala bantuan disalurkan terus kepada rakyat di bumi berdarah itu tanpa melalui kedutaan.

Abdullah mendakwa tohmahan itu akhirnya membawa kepada pembekuan akaun pertubuhan tersebut.

Sementara itu, Kedutaan Palestin memberitahu mereka akan mematuhi arahan pihak berkuasa negaranya, termasuk komited membantu menyampaikan bantuan dan sokongan melalui saluran diplomatik.

“Oleh itu, bagi memudahkan kemasukan bantuan berbentuk barangan ke Palestin, penyelarasan hendaklah dibuat melalui negara jiran iaitu Mesir dan Jordan.

“Barang yang hendak dibawa masuk ke Gaza pula hendaklah melalui pihak berkuasa Mesir, manakala barangan yang dimaksudkan untuk dibawa masuk ke Tebing Barat dan Baitulmaqdis mesti masuk melalui pihak berkuasa Jordan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.