Malaysia kecam ancaman, tuntut laluan selamat untuk GSF

Malaysia kecam ancaman, tuntut laluan selamat untuk GSF

Terdahulu dilaporkan konvoi GSF jadi sasaran intimidasi dron rejim Israel, sebahagiannya dilaporkan meletup di udara.

Misi bersejarah GSF ke Gaza libatkan lebih 1,000 sukarelawan dari seluruh dunia, termasuk 34 rakyat Malaysia. (Gambar EPA Images)
KUALA LUMPUR:
Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan terbaru yang mengancam keselamatan Flotila Sumud Global (GSF) pada Selasa, serta menggesa agar laluan selamat diberikan kepada peserta itu bagi menyampaikan bantuan kemanusiaan yang amat diperlukan.

Kementerian Luar hari ini berkata, Malaysia menegaskan semula bahawa GSF, sebagai misi kemanusiaan aman untuk menghantar bantuan ke Gaza, adalah sah di sisi undang-undang dan sangat penting dari segi moral berikutan genosid serta kebuluran yang sedang berlaku di wilayah Palestin.

“Malaysia menggesa ancaman keganasan itu dihentikan serta-merta, dan laluan selamat tanpa halangan bagi para peserta Flotila serta kapal mereka dijamin,” kata kementerian dalam kenyataan.

GSF yang sedang belayar merentasi Laut Mediterranean membawa bekalan makanan, ubat-ubatan serta mesej keamanan, dijadualkan tiba di perairan Gaza akhir bulan ini.

Misi bersejarah itu melibatkan lebih 1,000 sukarelawan dari seluruh dunia, termasuk 34 rakyat Malaysia, yang menyertai hampir 70 buah kapal dengan matlamat memecahkan sekatan ke atas Gaza.

Sementara itu, Kementerian Luar memaklumkan, kesemua 34 rakyat Malaysia yang menyertai flotila dilaporkan berada dalam keadaan selamat.

Malaysia terus berdiri teguh bersama Palestin dan mengulangi gesaannya agar genosid serta sekatan haram ke atas Gaza ditamatkan segera, menurut kenyataan itu.

Terdahulu, Bernama melaporkan konvoi GSF berdepan detik tegang selepas menjadi sasaran intimidasi dron rejim Israel, sebahagiannya dilaporkan meletup di udara.

Ketua Pengarah merangkap jurucakap Pusat Kawalan Flotilla Sumud Nusantara Ahmad Sani Araby Al-Kahery berkata, flotila itu berdepan siri taktik ugutan dengan sebanyak 15 dron terbang rendah setiap 10 minit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.