
Pesawat khas yang membawa Putera Albert II dan delegasi baginda termasuk Menteri Luar Negeri dan Kerjasama Monaco Isabelle Berro-Amadei, serta pegawai kanan dan komuniti perniagaan, mendarat di Kompleks Bunga Raya, KLIA pada 11 pagi.
Menteri Sumber Manusia V Sivakumar dan Duta Besar Malaysia ke Perancis Mohd Zamruni Khalid menyambut ketibaan Putera Albert II dan delegasinya.
Sejurus tiba, baginda memeriksa kawalan kehormat, yang terdiri daripada 28 pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Infantri Istiadat) diketuai oleh Kapten Amirul Akmal Osman.
Baginda dijadual merasmikan Pejabat Konsul Kehormat Monaco yang pertama di Malaysia dan melawat Muzium Kesenian Islam di Kuala Lumpur.
Esok, Putera Albert II dijadualkan menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan diberi sambutan negara di Istana Negara.
Sultan Abdullah juga akan menganjurkan Majlis Santapan Negara bagi meraikan Putera Albert II dan delegasinya.
Selain itu, Putera Albert II dijadualkan menghadiri Forum Ekonomi Monaco 2023 di Kuala Lumpur.
Sebelum berlepas pulang pada Rabu, baginda turut dijadualkan melawat Pusat Konservasi Harimau Malaya dan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah di Pahang.
Menurut kenyataan Wisma Putra, Sultan Abdullah berkenan menjadi hos bagi lawatan negara Putera Albert II.
Menurut kenyataan itu, lawatan Putera Albert II akan memberikan peluang yang baik bagi Monaco dan Malaysia untuk mengukuhkan lagi hubungan antara kedua-dua negara, dengan prospek kerjasama masa depan.