
Dalam kenyataan bertulis setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini untuk memulakan lawatan tiga harinya, Xi berkata, beliau yakin dengan usaha bersama China dan Malaysia, lawatan ini akan membuahkan hasil.
“Dengan lawatan ini, saya harap dapat memperdalam persahabatan tradisional kita, meningkatkan kepercayaan politik, memajukan kerjasama dalam pemodenan, menggalakkan pembelajaran bersama antara tamadun, dan meningkatkan tahap baharu dalam membangunkan komuniti China-Malaysia dengan masa depan bersama.
“Saya yakin dengan usaha bersama, lawatan ini akan membawa hasil yang memberangsangkan. Kita bersama akan membuka lembaran baharu dalam hubungan kejiranan yang baik dan kerjasama saling menguntungkan, serta memulakan satu lagi era ’50 tahun keemasan’ dalam hubungan China-Malaysia,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Kedutaan China di Kuala Lumpur.
Xi turut menzahirkan penghargaan atas undangan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim untuk melawat Malaysia secara rasmi.
“Dua belas tahun lalu, saya mengadakan lawatan negara pertama saya ke Malaysia dan membawa pulang kenangan manis yang sukar dilupakan,” katanya.
“Kembali semula hari ini mengundang rasa hangat di hati. Bagi pihak kerajaan dan rakyat China, saya ingin merakamkan salam sejahtera dan ucapan tulus ikhlas kepada kerajaan dan rakyat Malaysia.
Presiden itu turut menyatakan, hubungan diplomatik yang terjalin lebih setengah abad menjadi contoh hubungan antara negara berasaskan saling menghormati, mempercayai dan bekerjasama untuk manfaat bersama.
“Sepanjang lawatan ini, saya akan bertukar pandangan dengan Sultan Ibrahim serta Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengenai hubungan dua hala serta isu antarabangsa dan serantau yang menjadi kepentingan bersama,” katanya.
Pada 2023, kedua-dua negara mencapai kesepakatan penting untuk membina komuniti berkongsi masa depan China-Malaysia.
Tahun lepas juga menyaksikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara China dan Malaysia.
“Kedua-dua China dan Malaysia adalah negara membangun utama serta anggota Selatan Global,” tambah Xi.
“Memperkukuh kerjasama strategik peringkat tinggi kita adalah baik untuk kepentingan bersama kedua-dua negara serta menyumbang kepada keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau dan global.”