Presiden Xi tiba di Malaysia untuk lawatan negara

Presiden Xi tiba di Malaysia untuk lawatan negara

Lawatan kali ini kunjungan rasmi kedua presiden China ke Malaysia dalam tempoh 12 tahun, terakhir pada 2013.

anwar ibrahim n xi jinping
Presiden China Xi Jinping disambut oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebaik tiba di Kompleks Bunga Raya, KLIA, hari ini. (Gambar Bernama)
SEPANG:
Presiden China Xi Jinping tiba di Malaysia hari ini untuk mengadakan lawatan negara selama tiga hari atas jemputan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim

Lawatan kali ini menandakan kunjungan rasmi kedua Xi ke Malaysia dalam tempoh 12 tahun, selepas kunjungan terakhir pada 2013.

Pesawat khas yang membawa Xi mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 6.30 petang.

Turut hadir menyambut ketibaan dan delegasinya, Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Menteri Luar Mohamad Hasan, Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook dan Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing.

Sejurus tiba, Xi memeriksa kawalan kehormatan terdiri 28 pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat) yang diketuai oleh Leftenan Mohamad Nafis Norshid.

Persembahan kebudayaan yang menampilkan gabungan irama gendang tradisional Melayu, Cina, dan India oleh Akademi Arjunasukma dari Gombak turut dipersembahkan.

Selain itu, kumpulan pancaragam SMJK Yu Hua, Kajang turut mempersembahkan lagu ‘Lenggang Kangkung’.

Menurut Wisma Putra, sepanjang lawatannya, Xi akan disambut dengan istiadat sambutan negara, diikuti kunjungan menghadap Sultan Ibrahim di Istana Negara.

Baginda juga berkenan meraikan Xi dan delegasinya dalam satu majlis santapan negara.

Presiden China itu yang diiringi oleh menteri-menteri dan pegawai kanan kerajaannya juga dijadualkan bertemu dengan Anwar untuk membincangkan kerjasama dua hala serta bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.

Anwar juga akan menganjurkan majlis makan malam rasmi di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya, untuk meraikan Xi.

Lawatan itu sebahagian siri lawatan negara pertama Xi tahun ini, yang turut merangkumi Vietnam dan Kemboja.

Kali terakhir Presiden China itu mengadakan lawatan negara ke Malaysia ialah pada 2013, menyaksikan kedua-dua negara meningkatkan hubungan diplomatik kepada Perkongsian Strategik Komprehensif.

Malaysia dan China menjalinkan hubungan diplomatik pada 31 Mei 1974, meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik tahun lepas.

Selama 16 tahun berturut-turut sejak 2009, China kekal sebagai rakan dagangan terbesar Malaysia.

Jumlah dagangan antara kedua-dua negara bernilai RM484.12 bilion pada 2024, mewakili 16.8% daripada jumlah keseluruhan dagangan global Malaysia (RM2.88 trilion).

Selaku pengerusi ASEAN dan penyelaras negara bagi Hubungan Dialog Asean-China, Malaysia kekal komited untuk terus memperkukuh Perkongsian Strategik Komprehensif antara Asean dengan China.

Menurut Kementerian Luar, usaha itu akan diteruskan melalui dialog, saling mempercayai dan inisiatif yang membawa manfaat kepada rakyat Asean dan China.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.