
Penunjuk perasaan membawa sepanduk mengkritik dasar AS mengenai imigresen, Gaza dan perubahan iklim, sambil berarak diiringi paluan gendang serta tiupan trompet dari Portland Place menuju Parliament Square.
Seorang warga AS dikenali Amanda berkata, dia datang dari Los Angeles khusus untuk menyertai demonstrasi itu.
“Saya rasa keadaan sekarang sangat kacau-bilau. Kita tiada kepimpinan yang baik dan saya sangat bimbang dengan hala tuju diambil AS dan dunia.”
Sementara itu, kerajaan Britain pada Selasa mengumumkan Britain dan AS mencapai perjanjian teknologi berbilion dolar sempena lawatan Trump bagi memperkasa bidang berkembang pesat seperti kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran kuantum serta tenaga nuklear.
Google dilaporkan akan membuka pusat data di Waltham Cross, Hertfordshire.
Philip Threlfall, penduduk Hitchin di Hertfordshire berkata, pembinaan pusat data itu tidak dapat dielakkan, namun ia akan membawa kesan buruk kepada semua pihak, menjejaskan kawasan tanah lembap dan masalah sama berulang kali.
Polis Metropolitan menganggarkan sehingga 5,000 orang menyertai protes pada Rabu.
Sehari sebelumnya, polis mengumumkan lebih 1,600 anggota dikerahkan bagi mengawal demonstrasi itu dan memberi amaran perhimpunan perlu berakhir sebelum 7 malam waktu tempatan.
Demonstrasi itu dianjurkan kumpulan “Stop Trump Coalition” yang turut mengadakan protes di Windsor pada malam Selasa, dengan hampir 100 penduduk tempatan dan peserta dari kawasan lain hadir sebelum ketibaan Trump.
Menurut Istana Buckingham, Trump dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri Britain, Keir Starmer pada Khamis, hari terakhir lawatannya di Chequers, kediaman rasmi perdana Menteri.