Xi Jinping gembira lawatan ke Malaysia ‘amat berjaya’

Xi Jinping gembira lawatan ke Malaysia ‘amat berjaya’

Lawatan presiden China menyaksikan pertukaran 31 dokumen termasuk MoU, perjanjian dan nota persefahaman bagi memperkukuh kerjasama.

xi jinping sultan ibrahim
Lawatan negara Presiden China Xi Jinping atas undangan Yang di-Pertuan Agong bulan lepas menandakan kunjungan rasmi kedua beliau dalam tempoh 12 tahun. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Presiden China menyifatkan lawatan beliau ke Malaysia bulan lepas sebagai ‘amat berjaya’, menurut Menteri Luar Mohamad Hasan.

Mohamad berkata Kementerian Luar China memaklumkan bahawa Xi Jinping gembira dan berpuas hati tentang lawatan itu.

“Tahniah kepada semua,” katanya, lapor Bernama dalam ucapan sempena majlis penutup latih amal keselamatan kepengerusian Asean di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Lawatan negara tiga hari Xi atas undangan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bulan lepas menandakan kunjungan rasmi kedua beliau dalam tempoh 12 tahun, selepas kunjungan terakhir pada 2013.

Selain diberikan sambutan di Istana Negara, Xi diraikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam majlis makan malam rasmi di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya.

Lawatan itu menyaksikan pertukaran 31 dokumen termasuk memorandum persefahaman (MoU), perjanjian dan nota persefahaman bagi memperkukuh kerjasama, sekali gus menandakan lembaran baharu hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata mesyuarat Jemaah Menteri hari ini turut mendengar cadangan supaya satu bangunan persidangan bertaraf antarabangsa diwujudkan di Bandar Malaysia.

Cadangan itu dikemukakan kerana Malaysia mungkin terlibat dalam pelbagai penganjuran acara bertaraf antarabangsa dalam tempoh lima tahun akan datang dan bangunan KLCC sudah lama dan perlu difikir kesesuaian dari segi keselamatan.

Malaysia turut membida untuk menjadi tuan rumah bagi penganjuran mesyuarat Pertubuhan Kerjasama Islam, Pergerakan Negara-negara Berkecuali dan Komanwel, katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.