Simpanan syariah KWSP dijangka beri dividen lebih baik

Simpanan syariah KWSP dijangka beri dividen lebih baik

Timbalan Menteri Kewangan, Ahmad Maslan berkata ini kerana aset simpanan syariah KWSP akan diasingkan sepenuhnya pada tahun depan.

Timbalan Menteri Kewangan, Ahmad Maslan berkata pada masa ini, dividen bagi Skim Simpanan Syariah lebih rendah berbanding Skim Simpanan Konvensional. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Aset simpanan syariah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) diasingkan sepenuhnya mulai 1 Jan, 2024 yang dijangka dapat memberikan pulangan dividen Skim Simpanan Syariah yang lebih baik atau sekurang-kurangnya setara dengan Skim Simpanan Konvensional.

Timbalan Menteri Kewangan, Ahmad Maslan berkata pada masa ini, dividen bagi Skim Simpanan Syariah lebih rendah berbanding Skim Simpanan Konvensional.

Beliau berkata contohnya, dividen skim konvensional pada 2022 adalah 5.35% manakala skim syariah adalah 4.75% dan trend sedemikian berlaku beberapa tahun dengan dividen skim syariah tidak pernah mengatasi dividen konvensional.

“Pengasingan memberi kebebasan sepenuhnya kepada pelaburan syariah, maka ada kemungkinan pada tahun-tahun hadapan, (dividen syariah) jika tidak melebihi dividen pelaburan konvensional, paling kurang akan setara dengan pelaburan konvensional,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Integriti Bersama Kementerian Kewangan dan Agensi-agensi 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Amir Hamzah Azizan yang turut hadir pada sidang media itu berkata pada masa ini, kira-kira 40% daripada RM1.1 trilion aset di bawah pengurusan KWSP adalah aset syariah.

Beliau berkata apabila kedua-dua skim ini diasingkan, KWSP boleh membezakan simpanan dan pelaburan yang dibuat, dengan skim syariah bebas memilih pelaburan serta boleh meningkatkan pulangan, sekali gus merapatkan jurang antara skim konvensional dan syariah.

“Tetapi, pulangan (daripada pelaburan) yang kita dapat semestinya bergantung kepada prestasi aset yang kita ada. Usaha kita, kita asingkan dulu dan kita lihat cara untuk kita boleh kurangkan jurang (dividen),” katanya.

Sementara itu, Ahmad berkata Kementerian Kewangan akan meneliti secara serius setiap teguran serta ketirisan yang dilaporkan menerusi Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2022.

“Perkara ini berhubung rapat dengan integriti seperti penyalahgunaan kuasa dan juga rasuah, jika ia boleh dikurangkan maka banyak perkara boleh diselamatkan. Jadi, kita harap kebocoran dan teguran Ketua Audit Negara itu akan mempercepat dan mempercekap urusan kewangan,” katanya.

Mengenai teguran terhadap kelemahan pengurusan pembangunan dua projek hartanah Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Ahmad berkata kementerian mengambil maklum perkara itu dan berharap pihak berkaitan mengambil tindakan sewajarnya.

LKAN 2022 mendapati LADA gagal mengutip hasil pajakan tanah dua projek iaitu Projek Pembangunan Hotel St Regis sebanyak RM3.19 juta sejak 2018; dan pajakan tanah untuk Projek Perkampungan Tok Senik sebanyak RM8.30 juta sejak 2003.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.