
Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD menerima laporan daripada mangsa berusia 39 tahun itu semalam.
Ketua Polis Petaling Jaya, Fakhrudin Abdul Hamid, berkata mangsa pada mulanya berkenalan dengan seorang wanita sebelum diajak menyertai pelaburan sebuah syarikat yang menjanjikan pulangan lumayan.
Katanya, pengadu yang tertarik kemudiannya membuat bayaran keseluruhan berjumlah RM598,680 yang dimasukkan dalam beberapa akaun bank dari 14 November 2022 hingga 11 November 2023.
“Pengadu bagaimanapun tidak mendapat pulangan dijanjikan dan suspek memberi alasan wang dilarikan oleh rakannya serta keseluruhan aset ditahan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini, menurut Berita Harian.
Fakhrudin menasihatkan masyarakat supaya lebih peka dan tidak terpedaya dengan pulangan lumayan dalam jangka masa singkat.
“Berhati-hati jika menerima apa-apa tawaran dan membuat semakan dahulu kesahihan aktiviti pelaburan daripada Suruhanjaya Sekuriti di laman sesawang https://www.sc.com.my/investor- alert bagi memastikan kewujudan syarikat pelaburan berkenaan,” katanya.