
Ia dalam kenyataan berkata, kempen ketenteraan itu memusnahkan kira-kira 90% infrastruktur Gaza, di samping “dasar sistematik genosid dan pemindahan paksa”.
Menurutnya, lebih 73,700 orang terbunuh atau hilang, termasuk lebih 20,000 kanak-kanak dan 12,500 wanita. Sebanyak 2,700 keluarga dihapuskan sepenuhnya daripada daftar sivil.
Antara yang terkorban ialah 1,670 petugas perubatan, 248 wartawan, 139 anggota pertahanan awam dan 173 kakitangan perbandaran. Lebih 162,000 yang lain cedera, kebanyakannya mengalami kecederaan kekal seperti kudung anggota, lumpuh dan hilang penglihatan.
Pejabat itu turut berkata, 38 hospital, 833 masjid dan 163 institusi pendidikan musnah, selain ribuan kemudahan awam lain mengalami kerosakan meluas.
Katanya, Israel melaksanakan pemindahan besar-besaran dengan menghalang penduduk kembali ke rumah mereka di Gaza City dan bahagian utara serta menggunakan kebuluran sebagai senjata perang.
Ia berkata, ratusan ribu trak bantuan dihalang memasuki Gaza, menyebabkan 2.4 juta penduduk, termasuk lebih sejuta kanak-kanak di ambang kebuluran.
Sambil mempertanggungjawabkan Israel dan penyokongnya atas kemusnahan itu, ia menggesa negara Arab dan Islam, masyarakat antarabangsa serta Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu “bertindak segera untuk menamatkan pencerobohan, menarik balik sekatan, memastikan kepulangan keluarga yang kehilangan tempat tinggal serta mendakwa pemimpin Israel di mahkamah antarabangsa”.
Serangan berterusan Israel yang memasuki hari ke-700 pada Jumaat mengorbankan lebih 64,300 rakyat Palestin.