
Bagaimanapun, hasil bagi tempoh dalam tinjauan melonjak kepada RM648.36 juta berbanding RM100.10 juta setahun lalu, kata syarikat penerbangan tambang rendah jarak jauh itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Ia menyatakan syarikat itu memulakan operasi pada suku berakhir 30 Jun 2022, selepas dua tahun ia menggantung penerbangan berjadual, dan majoriti pesawat syarikat kekal di daratan pada suku berakhir 30 Sept 2022.
“Oleh itu, suku perbandingan bagi petunjuk prestasi untuk suku tersebut adalah tidak bermakna. Pembentangan penjadualan metrik hasil dan kos pada suku tersebut akan dibentangkan tanpa perbandingan dengan suku terakhir kerana tiada perbandingan pada suku yang sama seperti 30 Sept 2023,” kata AAX.
Ia juga berkata tempoh yang ditinjau secara tradisinya mencatatkan jualan yang agak rendah disebabkan oleh kebermusiman bagi sektor-sektor antarabangsa.
Namun, kumpulan itu mencapai pemulihan lebih 53% berbanding tempoh yang sama sebelum Covid-19, kata AAX.
Selaras pengaktifan semula pesawat pada suku ini kepada 14 pesawat yang beroperasi, kos kakitangan dan kos penyelenggaraan turut meningkat.
Menjelang akhir September 2023, bilangan juruterbang dan kru kabin masing-masing meningkat sebanyak 40% dan 131%, manakala kos penyelenggaraan bertambah seiring penggunaan pesawat yang lebih tinggi dan seterusnya didorong oleh kelemahan ringgit berbanding dolar AS.
Mengenai tinjauan masa depan, AAX berkata kumpulan itu mengekalkan momentum dalam pemulihan armada, yang mana kumpulan itu kini mengendalikan 14 daripada 17 pesawat dan dijangka menambah satu lagi pesawat kepada armadanya, menjadikan jumlah saiz armadanya kepada 18 pesawat.
“Menjelang Disember 2023, kami menjangkakan sekurang-kurangnya 16 pesawat akan beroperasi. Kumpulan meneruskan haluannya dalam melancarkan semula laluan utama yang menguntungkan dan mengekalkan tumpuannya terhadap potensi di China apabila trafik perjalanan antarabangsa republik itu pulih,” tambahnya.
Sementara itu dalam makluman berasingan, AAX mengumumkan bahawa Bursa Malaysia meluluskan permohonannya untuk ditarik balik daripada status Nota Amalan 17 (PN17).
“Bursa Securities, melalui suratnya bertarikh 21 Nov 2023, selepas mengambil kira fakta dan keadaan yang relevan, termasuk antara lain, syarikat tidak lagi mencetuskan mana-mana kriteria yang ditetapkan di bawah PN17, syarikat telah mematuhi kriteria untuk penepian dan penarikan balik daripada diklasifikasikan sebagai syarikat PN17.
“Selain itu, laporan suku tahunan bagi tempoh kewangan berakhir 30 Sept 2023, yang perlu dikemukakan sebelum 30 Nov 2023, memutuskan untuk membenarkan rayuan tertakluk kepada pengumuman AAX tentang keuntungan selepas cukai yang boleh dikaitkan kepada pemegang ekuiti AAX dalam keputusan suku tahunan,” katanya.
Penarikan balik AAX daripada diklasifikasikan sebagai syarikat PN17 akan berkuat kuasa esok (22 Nov).