
Jurucakap Heathrow dalam kenyataan memohon maaf atas kesulitan yang berlaku dan mengesahkan usaha pemulihan operasi dijalankan sejak itu.
“Pasukan kami bekerja tanpa henti sejak insiden itu bagi memastikan pemulihan segera. Kami berbesar hati untuk memaklumkan kami kini dapat memulakan beberapa penerbangan dengan selamat lewat hari ini.”
Penerbangan pertama ialah penerbangan repatriasi dan bagi tujuan pemindahan pesawat. Lapangan terbang itu menggesa penumpang tidak melakukan perjalanan, kecuali jika dinasihatkan secara khusus oleh syarikat penerbangan mereka.
“Kami akan bekerjasama dengan syarikat penerbangan untuk membawa pulang penumpang yang dilencongkan penerbangannya ke lapangan terbang lain di Eropah. Kami berharap dapat menjalankan operasi penuh esok dan akan memberikan maklumat lanjut dalam tempoh terdekat.”
Heathrow turut menekankan cabaran memulihkan operasi penuh memandangkan lapangan terbang itu menggunakan tenaga sebanyak sebuah bandar kecil.
British Airways mendapat kebenaran untuk lapan penerbangan jarak jauh berlepas dari Lapangan Terbang Heathrow pada Jumaat, bermula 7 malam waktu tempatan, menurut kenyataan syarikat penerbangan itu.
Lapangan terbang itu sedang “menghubungi pelanggan dengan segera untuk memaklumkan mereka dapat menuju ke lapangan terbang”.
Lebih 100,000 pelanggan British Airways berdepan pembatalan penerbangan.
Anadolu melaporkan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) mengkritik pengurusan Heathrow selepas gangguan bekalan elektrik memaksa penutupan lapangan terbang itu kerana ia bergantung kepada satu sumber kuasa, mencetuskan gangguan perjalanan global.