Peraturan baharu penerbangan: Pegang ‘power bank’, jangan simpan di bagasi

Peraturan baharu penerbangan: Pegang ‘power bank’, jangan simpan di bagasi

Penumpang diberi peringatan mengenai peraturan penggunaan dan penyimpanan bateri lithium-ion susulan kebakaran kabin pesawat di Korea Selatan baru-baru ini.

luggage compartment
Bateri lithium-ion yang disimpan dalam ruangan atas kepala dipercayai menjadi punca kebakaran dalam kabin sebuah pesawat di lapangan terbang Busan pada 28 Jan lalu. (Gambar Envato Elements)
PETALING JAYA:
Penumpang penerbangan diingatkan supaya memegang sendiri bank kuasa mereka dan mengelak menyimpannya dalam bagasi kabin di ruang penyimpanan atas kepala ketika berada di dalam pesawat.

Peraturan baharu mengenai bateri lithium-ion itu dikeluarkan kepada syarikat penerbangan di Malaysia susulan insiden kebakaran dalam kabin pesawat di Korea baru-baru ini.

Arahan itu meminta syarikat penerbangan mengingatkan penumpang mengenai peraturan sedia ada yang melarang penyimpanan bank kuasa dalam bagasi daftar masuk, tetapi menghendaki ia dibawa dalam bagasi kabin.

Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Norazman Mahmud, berkata arahan itu sejajar dengan amalan terbaik industri dan cadangan keselamatan selepas kejadian tersebut.

Beliau berkata kru kabin perlu sentiasa berwaspada terhadap kemungkinan bahaya bateri dan dilatih untuk menangani kebakaran bateri. Syarikat penerbangan juga perlu memastikan beg kawalan api dan alat pemadam api khas untuk bateri lithium-ion tersedia di dalam pesawat.

Peraturan ini susulan kejadian kebakaran dalam kabin sebuah pesawat Korea Selatan pada 28 Jan lalu, yang menyebabkan semua 176 penumpang dan kru terpaksa dipindahkan sebelum pesawat berlepas ke Hong Kong.

Bateri lithium-ion yang disimpan di ruang bagasi atas kepala dipercayai punca kebakaran, namun siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar.

Norazman berkata syarikat penerbangan perlu memastikan langkah keselamatan ini dipertingkatkan dan dikuatkuasakan dengan tegas.

“Kejadian terbaharu menunjukkan cabaran berterusan dalam pematuhan dan kesedaran penumpang. Ramai pelancong gagal mengisytiharkan barangan ini atau salah faham mengenai keperluan penyimpanan, sekali gus meningkatkan risiko kecemasan semasa penerbangan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.