
Loke, yang juga setiausaha agung DAP berkata, Lim Lip Eng (PH-Kepong) tidak sepatutnya mengemukakan cadangan yang ‘bukan-bukan’.
“Walaupun dia kawan saya, walaupun dia daripada parti saya. Ini tak betul,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2026 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat.
“Jangan memperlekehkan industri penerbangan. Kalau nak tegur, kita berbahas, kita berhujah, tak ada masalah … jangan kita bagi pandangan yang boleh menyebabkan polemik.
Minggu lalu, Lim mencadangkan agar PAS menubuhkan syarikat penerbangannya sendiri ketika mengkritik ahli-ahli Parlimen parti itu yang menggesa Malaysia Airlines berhenti menghidangkan arak dalam penerbangannya.
Menurutnya, golongan bukan Islam berhak minum arak, dan banyak syarikat penerbangan kendalian negara-negara Teluk turut menghidangkan arak dalam penerbangan mereka.
“Kepada PAS, jika tak suka, saya cadangkan PAS tubuhkan syarikat penerbangan sendiri … panggil PAS Airlines,” katanya.
Awal bulan ini, Ahli Parlimen Hulu Selangor Hasnizan Harun menggesa Kementerian Pengangkutan agar berhenti menghidangkan arak dalam penerbangan Malaysia Airlines, menyatakan amalan itu bertentangan dengan prinsip Islam.
Beliau turut mendakwa, perkara ini menyebabkan kru kabin beragama Islam serta penumpang lain berasa tidak selesa.
Gesaan sedemikian bukan kali pertama dibuat oleh PAS. Pada 2017, timbalan ketua Pemuda PAS ketika itu, Ahmad Fadhli Shaari mencadangkan perkara sama susulan kejadian seorang penumpang mabuk mengganggu penerbangan sehingga menyebabkan sebuah pesawat MAS terpaksa berpatah balik ke Melbourne.
Mengulas lanjut isu itu, Loke berkata, Malaysia Airlines sudah tidak lagi menghidangkan arak dalam penerbangan domestik sejak hampir sedekad lalu.
Menurutnya, minuman tersebut hanya dihidangkan dalam penerbangan antarabangsa, dan syarikat penerbangan dari negara Islam lain turut mengamalkan dasar serupa, termasuk Emirates, Etihad Airways, Qatar Airways, Gulf Air, Turkish Airlines dan Garuda Indonesia.
Beliau berkata, walaupun kerajaan menghormati hak umat Islam untuk tidak minum arak, ia tidak boleh menafikan hak penumpang bukan Islam dalam penerbangan antarabangsa.
Katanya, industri penerbangan bergantung pada laluan antarabangsa, dan ‘kita perlu bersikap objektif’.