‘Perlu lihat masa depan’, Muhyiddin perjelas pemilihan Hamzah ketua pembangkang

‘Perlu lihat masa depan’, Muhyiddin perjelas pemilihan Hamzah ketua pembangkang

Muhyiddin Yassin menafikan dakwaan Bersatu bercelaru apabila beliau tidak menjadi ketua pembangkang.

Muhyiddin Yassin memberi tugas ketua pembangkang kepada Hamzah Zainudin untuk melatihnya sebagai pemimpin pelapis PN. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menafikan wujud kelemahan dalam Perikatan Nasional (PN) apabila beliau sebagai peneraju gabungan itu tidak menjadi ketua pembangkang.

Peranan mengetuai blok pembangkang untuk memastikan proses semak dan imbang di Dewan Rakyat sebaliknya diserahkan kepada Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin sejak Disember tahun lalu.

Tegas Ahli Parlimen Pagoh, beliau boleh memonopoli jawatan tetapi memilih untuk “melihat ke depan dan masa sesuai untuk melatih orang baharu”, merujuk kepada pemilihan Hamzah yang juga wakil rakyat Larut sebagai ketua pembangkang.

Muhyiddin Yassin.

“Itu bukan kelemahan bagi saya,” katanya mengulas kritikan veteran Umno Shahrir Samad yang mendakwa kecelaruan dalam Bersatu kini tidak akan berlaku jika Muhyiddin menjadi ketua pembangkang.

Shahrir merujuk tindakan empat Ahli Parlimen Bersatu menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Mereka adalah Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Azizi Abu Naim (Gua Musang), dan Zahari Kechik (Jeli).

Bekas perdana menteri turut mendedahkan, sebelum melantik Hamzah beliau terlebih dahulu menawarkan posisi berkenaan kepada PAS kerana parti Islam itu mempunyai jumlah Ahli Parlimen teramai dengan 43 orang.

“Saya beritahu (presiden PAS) tok guru Hadi (Awang) supaya mereka calonkan namun mereka tolak dan serah kepada saya semula.

“Saya berfikir waktu itu saya telah memimpin kerajaan, jadi bagi peluang kepada Hamzah sebagai setiausaha agung PN dan Bersatu menjadi ketua pembangkang yang disokong semua Ahli Parlimen,” katanya mengimbau proses pemilihan hampir setahun lalu.

“Saya tak monopoli semua sekali, saya pun orang dah kenal sebagai bekas PM…jadi tugas Parlimen ini elok beri kepada orang muda.”

Mengulas prestasi Hamzah, Muhyiddin berkata: “Ada beberapa perkara mungkin boleh diperbaiki sebab masih baharu tetapi saya lihat di Parlimen beliau berprestasi.”

Mengikut kelaziman, jawatan ketua pembangkang disandang ketua parti atau gabungan politik contohnya Anwar yang memegang status itu kerana mengetuai Pakatan Rakyat dan Pakatan Harapan pada 2008 serta 2020.

Namun, Barisan Nasional (BN) yang menjadi pembangkang pada 2018 melantik Ismail Sabri Yaakob – ketika itu naib presiden Umno, menggantikan Presiden Zahid Hamidi yang bercuti kerana isu dalaman Umno serta berdepan pertuduhan di mahkamah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.