Kereta simpan dadah; seorang wanita, 5 lelaki ditahan

Kereta simpan dadah; seorang wanita, 5 lelaki ditahan

Kumpulan yang menjadikan kereta tempat penyimpanan dadah dikatakan aktif sejak bulan lalu.

Semua suspek berusia 21 hingga 42 tahun direman tujuh hari sehingga 21 Nov. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang wanita dan lima lelaki ditahan dalam serbuan di sekitar Georgetown kerana disyaki terbabit aktiviti pengedaran dadah, dengan menjadikan kereta tempat menyimpan bahan terlarang itu bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Pemangku Ketua Polis Timur Laut, V Saravanan berkata, serbuan pertama di sebuah pangsapuri di Taman Seri Damai, Jelutong pada Selasa membawa kepada penahanan tiga lelaki dan seorang wanita.

Dua peket heroin, satu peket syabu, dan empat pil Erimin 5 ditemui semasa pemeriksaan.

Berpandukan maklumat seorang suspek, polis menyerbu tempat letak kenderaan di kawasan sama dan menahan dua lagi lelaki.

Pemeriksaan lanjut ke atas sebuah kereta Honda Civic di tempat letak kenderaan menemukan dua lagi peket heroin, seberat 228g.

“Susulan itu, pemeriksaan ke atas sebuah Perodua Kancil di tepi Persiaran Bukit Gambir 1, Gelugor membawa kepada penemuan sembilan peket heroin 4.1kg,” katanya pada sidang media, menurut Harian Metro.

Saravanan berkata siasatan mendapati kumpulan ini aktif sejak bulan lalu, dan menjadikan kereta sebagai tempat penyimpanan dadah.

Semua suspek berusia 21 hingga 42 tahun itu direman tujuh hari sehingga 21 Nov, untuk disiasat mengikut Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya.

Semakan juga mendapati mereka mempunyai rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah, kata polis.

Turut dirampas sebuah kereta Mercedes Benz, tiga motosikal, pelbagai jenis barang kemas, dan wang tunai RM6,050, dengan keseluruhan rampasan dadah dan sitaan berjumlah RM135,021.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.