
Bagaimanapun, tertuduh Goh Hui Lian, 45, tidak mengaku bersalah ke atas semua pertuduhan selepas dibacakan di hadapan Hakim Irwan Suainbon, lapor Berita Harian.
Berdasarkan pertuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh didakwa menipu pegawai syarikat La Wai Wei, 31, dengan memperdayakannya supaya pembayaran berjumlah RM480,701, RM505,158 dan RM143,466 yang sepatutnya dibayar kepada pembekal sebaliknya dimasukkan ke dalam akaun peribadinya.
Ia membabitkan 51 transaksi secara keseluruhan dengan perbuatan itu dilakukan di syarikat terbabit di Kawasan Perindustrian Parit Hulu, Bukit Bakri antara Januari hingga Disember 2020.
Bagi pertuduhan keempat hingga kelima, Hui Lan didakwa melakukan perkara sama membabitkan 88 transaksi masing-masing bernilai RM872,252, RM308,180 dan RM362,968.
Pertuduhan ketujuh pula, dia didakwa pecah amanah sebanyak RM45,000 yang sepatutnya digunakan untuk membayar gaji pekerja dengan semua perbuatan itu dilakukan dilakukan di tempat sama antara Januari hingga November 2021.
Berikutan itu, dakwaan terhadap tertuduh dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan sebatan serta dikenakan denda.
Timbalan Pendakwa Raya Nur Sulehan Abd Rahman mengendalikan pendakwaan manakala Hui Lan diwakili Benedict Chong sementara Lim Shin Yi selaku peguam pemerhati kepada syarikat pengeluar tisu basah terbabit.
Terdahulu, pihak pendakwaan memohon mahkamah supaya perbicaraan kes terbabit berjalan serentak memandangkan tertuduh dan mangsa adalah individu sama.
Selepas mendengar hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan.
Mahkamah juga menerima permohonan pihak pendakwaan dan menetapkan 18 Disember ini untuk sebutan semula kes serta serahan dokumen.