Pusat panggilan judi diserbu, polis tahan 26 warga asing

Pusat panggilan judi diserbu, polis tahan 26 warga asing

Mereka tahan dalam tiga serbuan polis di sekitar Kuching, minggu lepas.

Menurut polis, kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan semua suspek direman 14 hari.
KUCHING:
Polis menahan 26 warga asing kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pusat panggilan perjudian dalam talian, menerusi tiga serbuan di sekitar bandar raya itu, minggu lepas.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Mancha Ata, berkata mereka yang ditahan itu terdiri daripada 23 orang lelaki dan tiga orang wanita dalam lingkungan 18 hingga 33 tahun.

Beliau berkata dalam serbuan pertama di sebuah kondominium di Lorong Dogan 3 di sini pada 7 Nov lalu, seramai sembilan individu telah ditahan serta pelbagai peralatan seperti komputer telah dirampas.

“Dalam serbuan kedua dan ketiga di sebuah kondominium di Jalan Sunny Hill Garden pada 8 Nov lalu pula, seramai 17 individu telah ditahan.

“Mereka yang ditahan merupakan operator pengendali perjudian tersebut dengan gaji sebanyak RM1,200 hingga RM1,600 sebulan. Siasatan mendapati pusat perjudian tersebut telah beroperasi selama satu tahun tiga bulan, berdasarkan rekod transaksi.

“Jumlah keuntungan kasar bagi sindiket tersebut mencecah RM240,000 sebulan dan pemilik sebenar premis sedang dikesan,” katanya dalam satu sidang media di IPK Sarawak di sini hari ini.

Mancha berkata kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan semua yang ditahan, direman di bawah Akta Imigresen selama 14 hari.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.