
Megat, yang juga seorang pelakon, berkata filem dari studio besar, seperti Mat Kilau dan Polis Evo 3, mempunyai bajet “10 hingga 20 kali ganda” lebih besar daripada yang dihasilkan menerusi geran daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).
Katanya, percanggahan bajet yang besar menyebabkan studio besar mempunyai kapasiti pemasaran yang lebih teguh berbanding dengan karyawan bebas seangkatan mereka.
Bajet pemasaran yang terhad membawa kepada kesedaran yang terhad, menyebabkan ramai penonton tidak mengetahui tentang filem tertentu, tambahnya.
“Jadi kerana kami kekurangan bajet pemasaran, (filem kami) tidak sebesar filem seperti Mat Kilau dan Polis Evo 3. Akibatnya, capaian kami tidak akan setanding dengan filem ‘blockbuster’ ini,” katanya kepada FMT.
Apabila orang ramai mula menyedari mengenai filem mereka, Megat berkata ia sudah pun beberapa hari ditayangkan di pawagam dan filem itu ditarik balik kerana kurang menyerlah.
Minggu lalu, seorang penerbit filem memberitahu FMT bahawa kandungan kurang baik adalah punca utama tayangan filem tempatan ditayang untuk tempoh singkat di pawagam Malaysia, selepas seorang Ahli Parlimen menyuarakan berhubung mengehadkan bilangan filem asing ditayangkan di pawagam bagi menyokong industri tempatan.

Pelakon veteran Sofea Jane bersetuju dengan Megat dan berkata syarikat produksi besar mempunyai cara dan bajet untuk pemasaran, tidak seperti pembuat filem bebas.
Bagaimanapun, Sofea berkata kandungan yang baik juga tidak akan bertahan di pawagam, kerana penonton mungkin menangguhkan menonton filem itu, kerana mengetahui bahawa ia mungkin akan tersedia menerusi perkhidmatan penstriman.
“Orang ramai sering terlepas pandang bahawa filem tertentu dihasilkan untuk pengalaman sinematik. Anda tidak akan benar-benar dapat menyelami pengalaman mengasyikkan menonton filem ini di skrin besar di pawagam, melainkan memiliki TV yang sangat besar, seperti skrin 1,000 inci atau seumpamanya,” katanya.