Platform digital diminta ketat saringan kandungan berbayar judi, penipuan

Platform digital diminta ketat saringan kandungan berbayar judi, penipuan

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching bangkit soal saringan awal sebelum kandungan sampai kepada pengguna.

scam
SKMM menurunkan sebanyak 15,519 kandungan berkaitan perjudian dalam talian dan 5,241 kandungan mengandungi unsur penipuan dalam tempoh 15 hari pertama tahun ini, kata Teo Nie Ching.
KULAI:
Kandungan berunsur perjudian dan penipuan yang dipromosikan secara berbayar atau sponsored post menimbulkan kebimbangan apabila banyak dikesan secara meluas di platform media sosial.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata kebanyakan kandungan diadukan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dikenal pasti berbentuk iklan oleh pihak tertentu yang membayar platform digital bagi memastikan kandungan itu menjangkau lebih ramai pengguna.

teo nie ching
Teo Nie Ching.

Teo berkata walaupun platform terlibat bersetuju menurunkan kandungan itu selepas aduan dibuat, tindakan tersebut lazimnya hanya dilakukan selepas kandungan telah dipaparkan dan menjangkau pengguna.

“Isu utama ketika ini ialah soal saringan awal. Mengapa kandungan seperti ini tidak ditapis dengan lebih berkesan sebelum disiarkan dan dipromosikan sehingga secara tidak langsung membantu aktiviti penipuan dan perjudian dalam talian,” katanya.

Teo berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Next Gen Luxury Coach di Senai hari ini.

Beliau berkata dalam tempoh 15 hari pertama tahun ini, SKMM menurunkan sebanyak 15,519 kandungan berkaitan perjudian dalam talian dan 5,241 kandungan mengandungi unsur penipuan dengan ada daripadanya kandungan berbayar.

Sehubungan itu, Teo berkata SKMM akan menggunakan peruntukan di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian bagi memastikan penyedia platform yang diklasifikasikan sebagai pemegang lesen melaksanakan tanggungjawab dengan lebih berkesan, khususnya dalam proses penilaian dan kelulusan kandungan.

Beliau berkata langkah itu bertujuan memastikan kandungan berbahaya dapat diturunkan dengan lebih pantas selain mengelakkan ia disiarkan dari peringkat awal.

Teo berkata MCMC akan terus bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menangani isu perjudian dan penipuan dalam talian selain menggalakkan orang awam menyalurkan aduan melalui saluran rasmi SKMM.

“Kita mahu memastikan platform turut dipertanggungjawabkan dan tidak membenarkan kandungan yang jelas memudaratkan ini wujud dalam ruang digital mereka,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.