Dapur kampung, petah dialek Terengganu ‘resipi’ lonjak nama Cef Richard

Dapur kampung, petah dialek Terengganu ‘resipi’ lonjak nama Cef Richard

Cef Richard yang memiliki hampir sejuta pengikut media sosial mencuri perhatian apabila lancar bertutur dialek Terengganu walaupun berbangsa Cina.

Cef Richard mencuri hati warganet apabila bercakap dialek Terengganu dalam semua kandungan digitalnya.
KUALA TERENGGANU:
Petah berborak dalam dialek Terengganu sambil memasak di dapur kampung adalah ‘resipi’ yang melonjakkan nama tukang masak berbangsa Cina atau lebih dikenali sebagai Cef Richard di media sosial.

Richard atau nama sebenarnya Nam Lee Chet berkata, dia tidak pernah menyangka cara percakapannya menjadi tarikan utama kandungan digital yang dihasilkan.

“Dulu saya rasa biasa saja bercakap dialek Terengganu, tapi hari ini saya bangga,” kata anak jati Kampung Pelam, Kuala Telemong kepada FMT.

Katanya, sebelum terlibat dalam dunia pembikinan kandungan, dia langsung tidak menyedari perbezaan ketara antara dialek Terengganu dan Kuala Lumpur.

Memasak di dapur kampung di rumah milik keluarganya menjadikan kandungan digital Cef Richard unik dan diterima baik pengikut media sosial.

Segala yang dituturkan dalam video adalah bahasa seharian sejak kecil, hasil membesar dan bergaul dalam komuniti setempat. Lama-kelamaan, dialek itu menjadi identitinya – sesuatu yang kini dibanggakan.

“Sebenarnya, video masakan pertama emak saya yang rakamkan. Tak sangka dapat sambutan dan sejak itu saya aktif hasilkan kandungan digital,” kata anak sulung tiga beradik itu.

Setakat ini, Richard mengumpul kira-kira 780,000 pengikut di TikTok, 149,000 Instagram dan 30,000 pelanggan di YouTube.

Perjalanan itu bermula pada 2021 apabila bapa memintanya pulang memasak juadah sempena Tahun Baharu Cina.

“Dengar perkataan masak pun saya tak nak sebab teringat pengalaman derita dalam dunia masakan profesional. Tapi sebab ayah minta dan sempena Tahun Baharu Cina, saya akur. Kali ini kita rakam,” katanya.

Richard pernah bekerja sebagai tukang masak di Singapura, bermula sebagai pembuat roti sebelum beralih ke dapur panas demi kelangsungan hidup.

Tekanan kerja dan layanan kasar menjadi rutin hariannya. Kesilapan kecil sering dibalas dengan herdikan yang meninggalkan kesan emosi mendalam namun tidak mematahkan semangatnya untuk terus belajar.

Sekembali ke Terengganu, dia mencuba nasib dalam perniagaan makanan dan minuman. Bagaimanapun, cabaran kos meningkat, operasi tidak menentu dan tekanan mengurus pekerja menambah episod sukar dalam hidupnya.

Rezeki kemudian hadir apabila dia ditawarkan menguruskan sebuah hotel bersama rakan niaga di Kuala Terengganu. Kini, Richard membahagikan masa antara kerjaya pembuat kandungan sepenuh masa dan tanggungjawab sebagai pengurus hotel.

Hidup dalam persekitaran masyarakat Melayu turut memberi pengalaman tersendiri buatnya, termasuk menikmati suasana Ramadan.

Menurutnya, bunyi mercun yang kedengaran sebelum azan maghrib menjadi penanda waktu berbuka puasa di kawasan itu.

“Di sini kita dengar bunyi mercun, jadi masyarakat tahu sudah masuk waktu berbuka. Dulu saya hanya bekerja di dapur ketika orang lain beraya.

“Sejak jadi pempengaruh, saya penuhi undangan dan dapat rasa kemeriahan itu bersama masyarakat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.