
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Livescape Group Iqbal Ameer percaya langkah itu, yang dicadangkan oleh seorang timbalan menteri baru-baru ini, tidak akan menghalang artis asing untuk membuat persembahan di Malaysia.
Beliau berkata, langkah tersebut akan memberikan perlindungan lebih besar bagi semua pihak sekiranya kejadian tidak diingini berlaku. Bagaimanapun, katanya, pemain industri berharap “kill switch” sedemikian tidak akan perlu dilaksanakan.
“Insiden luar biasa membabitkan The 1975 itu sesuatu yang jarang berlaku dan tidak mewakili sikap kebanyakan artis,” katanya kepada FMT.

Bagaimanapun, Iqbal berkata, perlu ada proses dan dasar komunikasi yang betul diwujudkan bersama langkah tersebut untuk memastikan respons yang lancar sekiranya ia perlu dilaksanakan.
Di Dewan Rakyat minggu lepas, Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching berkata, para penganjur diminta melaksanakan “kill switch” tersebut, sekaligus mematikan sistem pencahayaan dan bunyi, jika berlaku sebarang insiden tidak senonoh ketika persembahan. persembahan.
Katanya, langkah ini dicadangkan sebagai sebahagian daripada garis panduan yang lebih ketat untuk memastikan artis dari luar negara mematuhi undang-undang tempatan.
Kementerian memperkenalkan garis panduan yang lebih ketat susukan aksi provokatif The 1975 pada persembahan di Sepang pada Julai lepas. Dalam insiden tersebut, penyanyi utama kumpulan itu, Matty Healy mengkritik undang-undang Malaysia berhubung lesbian, gay, biseksual dan transgender sebelum mencium ahli kumpulannya, seorang lelaki.
Insiden ini membawa kepada langkah kerajaan mengarahkan pembatalan serta-merta baki dua hari festival itu, yang dijadualkan berlangsung selama tiga hari.
Bagaimanapun, seorang peguam yang mempunyai anak guam dalam kalangan selebriti meragui keberkesanan “kill switch” sebagai penyelesaian pukul rata.

David Gurupatham, yang mengetuai gabungan perdagangan Industries Unite, berkata dalam kejadian membabitkan The 1975 itu, penganjur tidak sempat bertindak balas terhadap tindakan spontan Healy.
Dalam satu kes lain, seorang wanita diiringi keluar dari sebuah kelab komedi selepas cuba menanggalkan tudung dan baju kurung dipakainya, mendedahkan pakaian lain di dalam.
“Jadi saya tak pasti sama ada ‘kill switch’ akan bermanfaat dalam situasi seperti ini,” kata Gurupatham.